KUANTAN, 16 MEI 2024 : Kerajaan akan mengadakan tinjauan berkaitan sekolah di kawasan pulau bagi memastikan akses pendidikan dapat diterima oleh semua golongan.
Menurut YB. Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidkan Malaysia (KPM) dijangka akan melawat sekolah di kawasan pulau di negeri ini pada Jun.
“Saya akan datang semula ke Negeri Pahang insyaAllah pada bulan Jun nanti untuk kita membuat satu lagi tinjauan berkaitan sekolah pulau di Pulau Tioman.
“Dan ini satu kelebihan di Negeri Pahang berdasarkan demografi yang ada iaitu sekolah-sekolah di pulau. Jadi insyaAllah tumpuan diberikan untuk pendidikan di Negeri Pahang sentiasa diberikan keutamaan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut beliau, sekolah di pulau ini melibatkan sekolah yang menggunakan pengangkutan air sebagai akses bagi pelajar untuk ke sekolah.
“Yang kita nak lihat akses ini menyebabkan anak-anak boleh ke sekolah atau tidak. Kedua adalah keadaan atau pembangunan di sekolah. Dan juga adakah barangkali ada tambahbaik yang boleh kita laksanakan di sekolah-sekolah tersebut.
“Dan ini bukan demografi asing di Negeri Pahang dan berberapa negeri lain yang akan kita lihat dari semasa ke semasa.
“Sekolah pulau dah ada dah cuma kita nak bagi tumpuan melihat kepada apa yang kita boleh tambah baik lagi khususnya untuk kita melihat isu akses pendidikan di pulau-pulau ini,” katanya.
Mengulas berkenaan permohonan penambahan sekolah bertaraf K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) dan K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11) di negeri ini, beliau berkata ia sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan.
“Kita memang sentiasa menimbangkan (sekolah) K9 dan (sekolah) K11 ini memang menjadi keutamaan ketika ini di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia kerana isu akses tadi.
“Dan terbukti K9 K11 ini adalah projek yang sangat berjaya kerana pertama, meningkatkan akeses pendidikan; kedua, kehadiran ke sekolah; yang ketiga, jaminan pendidikan; yang keempat, adalah terkait rapat dengan mutu pendidikan.
“Jadi anak-anak kita akan dapat pendidikan dan akses yang sepenuhnya berdasarkan K9 dan K11 bukan sahaja Orang Asli tetapj juga terpaksi untuk orang Penan dan lain-lain juga,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan turut memberi tumpuan yang lebih kepada Negeri Pahang dari segi pendidikan sebagai tanda komitmen Kerajaan MadaniS
“Banyak tumpuan kita beri kepada Negeri Pahang khususnya sebagai contoh sekolah K9 dan K11 khususnya pendidikan anak Orang Asli.
Dan ini adalah komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan Negeri Pahang terus mendapat pendidikan yang baik untuk anak-anak,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA