TINJAU: Chew (tengah) meninjau seorang penduduk yang terpaksa mengambil air paip di tingkat bawah rumah pangsa.
SANDAKAN: Penduduk rumah pangsa di sekitar Jalan Leila di sini berhadapan dengan masalah tekanan air rendah.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, penduduk dari tingkat satu sehingga tiga sukar untuk mendapatkan bekalan air paip.
“Bukan semua penduduk di sini mampu membeli alat pam air yang berharga RM600 sehingga RM1,000 untuk mengatasi masalah ini.
“Masalah air ini telah berlarutan sebulan di sepanjang Jalan Leila yang melibatkan Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila, Bandar Nam Tung dan Bandar Merah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, ramai penduduk terpaksa turun ke tingkat bawah untuk mengambil air untuk mandi, cuci kain selain perlu mengangkat air ke tingkat masing-masing.
Chew berkata, penduduk kecewa kerana mereka membayar bil perkhidmatan air tetapi khidmat yang disampaikan tidak setimpal dengan apa yang dibayar.
“Saya memohon kepada pihak berwajib agar cari jalan proaktif untuk menangani masalah ini, jangan hanya memberikan alasan musim kemarau dan sebagainya.
“Perkhidmatan menyalurkan air kepada penduduk pada jam 2 pagi sehingga 5 pagi adalah menyusahkan penduduk kerana mereka masih perlu bekerja pada hari paginya,” katanya.
Chew mencadangkan pam booster dipasang di kawasan berkenaan. Surat berkaitan juga telah dihantar ke jabatan berkaitan untuk tindakan susulan.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Utusan Borneo Online