KAAMATAN KEKAL SEBAGAI PLATFORM UNTUK MENGGALAKKAN PERPADUAN – HAJIJI

TAMPARULI (8 Mei): Pesta Kaamatan kekal sebagai platform terbaik untuk menggalakkan perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Saya menyeru rakyat tanpa mengira agama dan kaum untuk terus memupuk perpaduan, menghormati antara satu sama lain dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang memudaratkan perpaduan yang telah lama kita kecapi.

“Apa yang penting, sokongan rakyat kepada kerajaan tidak boleh goyah supaya pembangunan dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada Majlis Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran 2024 di Dewan Tun Hamdan di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan kepada semua perayaan kebudayaan dan keagamaan kerana budaya dan tradisi Sabah yang unik adalah aset penting rakyat. Dalam konteks pembangunan, Hajiji menggesa semua wakil rakyat untuk sentiasa turun padang melibatkan akar umbi di kawasan masing-masing bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Jangan tunggu masalah timbul, sebaliknya sentiasa dekat dengan rakyat. Begitu juga semua pegawai daerah dan kakitangan di jabatan berkaitan juga perlu proaktif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Katanya, Pesta Kaamatan tahun ini bertemakan “Kaamatan, Melangkaui Keselamatan Makanan” adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keselamatan makanan Sabah. Menurutnya, semua pihak perlu untuk bekerja lebih keras untuk meningkatkan hasil dan mengekalkan sumber makanan negeri.

Hajiji, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya Tahap Sara Diri (SSL) komoditi padi.

“Selain menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, saya berharap mereka yang mempunyai tanah luas termasuk sawah terbiar akan memajukan tanah mereka memandangkan Kerajaan Negeri telah memberi beberapa insentif untuk berbuat demikian terutama untuk penanaman padi tahun ini,” katanya.

Hajiji turut menyampaikan anugerah Tokoh Kaamatan kepada penerima dalam lima kategori.

 

#MalaysiaMadani

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

#MKNSabah

 

Sumber: Sabah News Today

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …