PASAR TERAPUNG MELAKA DIJANGKA BEROPERASI PADA JUN

Melaka – Pasar terapung yang dibangunkan di Sungai Melaka Fasa Dua di sini dijangka beroperasi pada Jun ini selepas semua 30 sampan yang disediakan mempunyai peniaga.

Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Khairunnisa Ibno Masooda berkata setakat ini hanya 10 peniaga menjual pelbagai jenis makanan, minuman dan cenderahati telah memohon untuk berniaga dalam sampan berkenaan.

“Kita masih membuka peluang perniagaan untuk peniaga sampan di pasar terapung kerana masih terdapat 20 kekosongan dan mereka boleh menjual apa jua bentuk produk makanan, minuman dan sebagainya.

“Kita sasarkan selewat-lewatnya pada Jun depan, semua kekosongan (sampan) dapat diisi peniaga sebelum dilancarkan (pasar terapung) secara rasmi oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Promosi Pembinaan Pasar Terapung Melaka dan Jamuan Hari Raya di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini beberapa kerja penambahbaikan sedang giat dijalankan bagi pengoperasian Pasar Terapung Melaka antaranya aspek pencahayaan di sekitar Sungai Melaka.

Jabatan Pengairan dan Saliran negeri juga, katanya dalam perancangan membina jambatan di situ bagi kemudahan pengunjung.

Sementara itu, Khairunnisa berkata ‘Windmill Pink Market’ yang menempatkan 100 khemah di kawasan pasar terapung itu telah mula beroperasi dengan pelbagai jualan makanan dan minuman serta aktiviti kanak-kanak.

Beliau berkata bagaimanapun hanya 55 vendor telah mula berniaga di khemah itu yang beroperasi bermula 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Selasa.

“Kita sedang giat melaksanakan promosi untuk menarik peniaga atau vendor untuk berniaga di pasar terapung atau ‘Windmill Pink Market’.

“Selain itu, sebuah restoran makanan segera akan dibuka di tapak pasar terapung pada September ini dan diskaun istimewa menanti pengunjung yang memilih pakej menaiki Melaka River Cruise dan makan di restoran berkenaan,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

LOKALITI WABAK DENGGI AKTIF NEGERI KELANTAN 2024

Terdapat 7 lokaliti wabak denggi aktif sehingga 19 Mei 2024 Wabak Tak Terkawal • 1 lokaliti di daerah Kota Bharu …
Maklumat Lanjut

KE MANA HALA TUJU

Kehidupan ibarat sebuah kenderaan; kita perlu pandu ia ke landasan yang betul untuk sampai ke destinasi yang diidamkan. Seperti pemandu …
Maklumat Lanjut

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut