Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering dilaporkan tentang kes-kes kematian yang melibatkan spesies penyu di persisiran pantai negara ini. Turut dilaporkan bahawa kadar kematian penyu di Terengganu juga berada pada tahap yang membimbangkan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini apabila sebanyak 5 ekor penyu telah mati. Angka-angka kematian ini pastinya membimbangkan kerana ia hanya menunjukkan kadar kematian yang dilaporkan sahaja. Mungkin jumlah sebenar adalah lebih besar kerana tidak mustahil terdapat juga kes-kes kematian yang tidak dilaporkan kepada jabatan.
Kebanyakan kes-kes kematian penyu yang dilaporkan adalah disebabkan oleh tersangkut pada pukat nelayan, kemalangan akibat kipas bot pelancong, perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mencuri telur, dan pencemaran plastik di laut yang turut menyumbang kepada kematian penyu apabila reptilia berkenaan memakan sisa plastik yang disangkakan obor-obor.
Kes Pertama Februari 2024, seekor penyu agar betina ditemukan mati terdampar di Pantai Che Wan, Kijal. Bangkai penyu itu telah dijumpai oleh ahli persatuan Geng Plastik Ija Terengganu semasa menjalankan program pembersihan pantai Bersama pelajar Kolej Vokasional Kemaman.Perkara tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri . Menurut Jabatan Perikanan Negeri menyatakan punca kematian penyu agar itu berkemungkinan besar disebabkan terperangkap di dalam pukat pari yang dipasang di laut..
Kes Kedua April 2024, Seekor penyu jantan seberat 150 kilogram terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh akibat terjerut di pukat pari.
Kes Ketiga April 2024, tidak sampai 24 jam, seekor lagi penyu agar betina mati di pantai yang sama. Bangkai penyu itu telah dijumpai oleh ahli persatuan Geng Plastik Ija Terengganu semasa menjalankan program pembersihan pantai. Terdapat kesan luka di bahagian leher penyu itu yang dipercayai mati akbiat terjerut dengan pukat nelayan.
Kes Keempat April 2024, satu lagi bangkai penyu iaitu yang keempat ditemui di Pantai Sura. Bangkai penyu yang sudah mereput berkenaan dijumpai oleh seorang sukarelawan sewaktu sedang mengutip sampah di pantai berkenaan.Berkemungkinan penyu itu sudah lama mati kerana bangkainya sudah mereput sebelum terdampar di Pantai Sura. Sukarelawan itu juga memaklumkan yang beliau juga telah menjumpai satu bangkai penyu karas di lokasi yang sama pada minggu lalu.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan, kerana kepupusan penyu akan memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada ekosistem marin tetapi juga kepada manusia yang banyak bergantung kepada sumber marin untuk kelangsungan hidup seharian. Justeru, usaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan memelihara penyu perlu dipergiat dan dipromosikan dengan meluas. Usaha ini penting agar masyarakat lebih prihatin dalam tindak tanduk seharian dan juga aspek penjagaan alam sekitar supaya tidak menjadi penyumbang kepada kemerosotan spesies berkenaan.
Bagi spesies penyu, ia memainkan peranan yang cukup besar dan penting di dalam ekosistem marin. Antaranya, spesies ini merupakan sebahagian daripada rangkaian ekosistem marin. Dalam konteks ini, rangkaian yang terbentuk akan saling mengikat antara satu sama lain. Sekiranya ikatan ini terpisah, maka ia akan memusnahkan hidupan marin yang lain.
Sebagai contoh, spesies yang memakan rumpai laut seperti penyu agar akan membantu merapikan rumpai laut. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan membolehkan lebih banyak cahaya matahari sampai ke dasar laut, sekali gus membantu rumpai laut untuk tumbuh dengan lebih subur dan sihat. Rumpai laut yang subur dan sihat ini pula akan berperanan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida sebagai proses fotosintesis. Dalam kitaran ini, oksigen yang dibebaskan akan bertindak menstabilkan kandungan oksigen di dalam laut, sekali gus membantu kelangsungan hidup spesies marin lain seperti ikan, sotong, ketam dan sebagainya.
Selain itu, kewujudan penyu juga dapat membantu menstabilkan jumlah populasi pemangsa dan mangsa di dalam ekosistem marin. Misalnya, terdapat spesies penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman dan obor-obor. Sekiranya penyu pupus, ia akan menyebabkan berlakunya kemusnahan yang serius terhadap ekosistem marin.
Dalam konteks ini, ia akan menyebabkan sesetengah kawasan dipenuhi oleh spesies obor-obor sahaja kerana sistem rangkaian di dalam ekosistem berkenaan telah terganggu. Apabila obor-obor membiak dengan banyak, ia akan memakan hidupan marin yang lain terutamanya ikan. Apabila keadaan ini berlaku, ia akan merencatkan pertumbuhan dan pembiakan populasi ikan pada masa akan datang. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan jumlah ikan berkurang dan paling membimbangkan ia akan menyebabkan ikan mengalami kepupusan.
Begitu juga, sekiranya penyu yang menjadi pemangsa kepada tapak sulaiman pupus, ekosistem terumbu karang juga akan diancam kemusnahan akibat di makan oleh tapak sulaiman kerana sudah tiada lagi pemangsa di kawasan tersebut. Bagi penyu yang memakan alga merah pula, apabila spesies tersebut pupus, alga merah akan membiak dengan banyak dan seterusnya membunuh ekosistem terumbu karang. Apabila ekosistem terumbu karang musnah, ia akan turut merencatkan populasi ikan di dalam habitat berkenaan.
Sumber : Utusan Malaysia Puan Rosmidzatul Azila Binti Mat Yamin, Facebook Geng Platik Ija Terengganu, Bernama, Rosli Ilham Harian Metro,TRDI Hafiz Rosli, Kosmo Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan