LETUSAN GUNUNG RUANG: MAS KEMBALI BATALKAN PENERBANGAN ANTARA KL-SABAH

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) hari ini membatalkan semula beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata walaupun sudah berusaha memulihkan operasi secepat mungkin, beberapa penerbangan yang dijadualkan hari ini dibatalkan selepas mengambil kira cuaca dan keselamatan operasi.

Sebelum ini MAS mengumumkan ia telah memulakan pengembalian semula secara beransur-ansur penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan sejak petang semalam.

Senarai penerbangan yang dibatalkan hari ini membabitkan penerbangan MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2646 (KUL-BKI), MH2641 (BKI-KUL).

Turut terjejas penerbangan ke dan dari Tawau MH2660 (KUL-TWU), MH2661 (TWU-KUL) dan Sandakan MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL).

“Semua penerbangan lain hari ini kekal mengikut jadual. Kemas kini akan diberikan di laman web MAS secara berkala dan dimaklumkan terus kepada pelanggan yang terjejas sekiranya terdapat sebarang perubahan pada penerbangan mereka,” katanya.

Penumpang MAS dinasihatkan untuk mengemas kini butiran di laman web MAS untuk menerima kemas kini tepat pada masanya dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.

Untuk meminimumkan kesulitan disebabkan pembatalan yang tidak dijangka, MAS menawarkan pelanggan yang terjejas perubahan satu kali pada jadual perjalanan mereka secara percuma, atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira keluarga tambang mereka.

“Pelanggan yang terjejas yang ingin menukar penerbangan mereka atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui ‘Tempahan Saya’ di laman web kami.

“Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi sokongan Sembang Langsung kami yang tersedia di tapak web atau menghubungi Pusat Hubungan Global kami,” katanya.

Semalam, media melaporkan kira-kira 20,000 penumpang yang masuk dan keluar ke negeri ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Labuan, Tawau dan Sandakan terjejas akibat pembatalan itu.

Sebahagian besar penerbangan ke Sabah berikutan letusan Gunung Berapi Ruang di Kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Letusan abu tebal dari gunung berapi itu dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitarnya termasuk di Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan.

Berpandukan maklumat dimuat naik kedua-dua syarikat penerbangan itu, sekurang-kurangnya 27 penerbangan di Sabah dan lapan penerbangan di Sarawak dibatalkan sejak pagi semalam dan dijadualkan semula.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

KPM GIAT LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BAGI MEREFORMASI PENDIDIKAN NEGARA, TANGANI KECICIRAN PEMBELAJARAN

KPM GIAT LAKSANA PELBAGAI INISIATIF BAGI MEREFORMASI PENDIDIKAN NEGARA, TANGANI KECICIRAN PEMBELAJARAN Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif …
Maklumat Lanjut

CAKNA MEDIA SOSIAL DI KALANGAN KANAK-KANAK: MENJANA KESEDARAN DAN KESELAMATAN

Media sosial telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian kita, mempengaruhi bagaimana kita berhubung, berinteraksi, dan menerima maklumat. Namun, kesan …
Maklumat Lanjut

PAHANG CADANG WUJUDKAN ZON INDUSTRI DI SEMUA DAERAH

Bera: Kerajaan Negeri Pahang bercadang mewujudkan zon perindustrian di semua daerah di negeri ini bagi menarik kemasukan pelabur asing ke …
Maklumat Lanjut