BANJIR KILAT: KEROSAKAN INFRASTRUKTUR DIANGGAR CECAH RM1 JUTA

Kerugian membabitkan kerosakan infrastruktur di beberapa daerah di Negeri Sembilan akibat banjir kilat susulan hujan lebat pada Selasa, dianggarkan mencecah RM1 juta.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, ketika ini laporan penuh dan terperinci sedang diselaraskan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.

Kejadian hujan lebat semalam dengan keamatan tinggi direkodkan menyebabkan kenaikan paras air di sepanjang jajaran Lembangan Sungai Linggi sehingga melepasi paras bahaya. Ia seterusnya mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Seremban, Rembau dan Port Dickson dalam tempoh dua jam dengan taburan hujan antara 75 milimeter hingga 93 milimeter.

Jumlah kerosakan itu termasuk tebing dan tanah runtuh, bagaimanapun banjir kali ini tidak seteruk pada tahun 2021. Bantuan pascabanjir seperti pembersihan rumah, penyerahan kit makanan dan bantuan asas telah dilaksanakan untuk semua mangsa yang terjejas akibat kejadian ini.

Media sebelum ini melaporkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat ini membabitkan PPS di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson dan sebuah lagi dibuka pada 12.30 tengah hari Rabu di Surau Kampung Nerambai, Lubok China, Rembau menjadikan keseluruhan 70 mangsa.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan semua penduduk untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai yang akhirnya memberi kesan terhadap ekosistem sungai selain boleh menjejaskan loji rawatan air. Jangan jadikan sungai sebagai tempat lepas geram kerana malas nak buang di tempat sepatutnya. Buang di sungai akhirnya sungai kotor. Sebelum ini Loji Linggi yang membekalkan air ke kawasan Port Dickson terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan akibat sampah-sarap.

Sumber: sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …