SAMPAH DI KL MENINGKAT 300 TAN SEHARI KEPADA 2,800 TAN PADA RAMADAN

KUALA LUMPUR: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mencatatkan peningkatan kutipan sisa pepejal sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan berbanding tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali, berkata jumlah itu merangkumi ketiga-tiga kawasan konsesi Alam Flora iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Katanya, makanan yang tidak habis dijual di bazar-bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama peningkatan kutipan sisa selain plastik dan polisterin iaitu bungkusan makanan.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa bagi kawasan Kuala Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negara ini.

“Menurut statistik dari tahun 2019 hingga tahun 2024, trend peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan, bagaimanapun 66 peratus daripada sampah makanan itu boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adam berkata, juadah yang disediakan berkemungkinan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu dijual dan akhirnya terpaksa dibuang ke tong sampah sebagai sisa makanan.

“Bagaimanapun Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tetapi kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing.

“Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan, diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas.

“Letakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa,” katanya.

Sementara itu, Alam Flora memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil.

Sumber: BH

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …