PENIPUAN PEKERJAAN ANTARA AGENDA UTAMA SIDANG KEMUNCAK ASEAN 2025

KUALA LUMPUR: Jenayah penipuan pekerjaan akan menjadi satu daripada 10 agenda utama yang akan diberi penekanan ketika Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution, berkata Malaysia selaku pengerusi sidang kemuncak itu memutuskan untuk membawa isu jenayah penipuan pekerjaan dalam agenda utama memandangkan jenayah itu kini menjadi krisis global.

“Kita negara ASEAN yang paling ke hadapan memasukkan tajuk ini dalam sidang kemuncak ASEAN yang akan kita pengerusikan tahun hadapan.

“Kita yang mencadangkan tajuk jenayah penipuan pekerjaan ini dimasukkan dalam satu daripada 10 agenda keutamaan yang akan kita bawa.

“Jenayah jenis itu sebelum ini hanya diklasifikasikan sebagai mangsa tipu oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), namun kini badan itu telah mengiktiraf jenayah ini sebagai jenayah pemerdaganagn orang.

“Maknanya bukan sahaja kita yang melihat krisis ini, tetapi negara serantau dan global turut sama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah anak Patrick Insol yang ingin mengetahui statistik terkini bilangan mangsa penipuan sindiket kerja dan pelan tindakan kerajaan untuk menangani masalah penipuan kerja dengan lebih cekap serta berkesan.

Saifudin berkata, berdasarkan laporan polis sejak September 2021 hingga kini, 362 laporan polis diterima berkaitan penipuan pekerjaan membabitkan 470 mangsa.

“Daripada 470 mangsa ini, 331 orang diselamatkan dan bakinya 139 kita kategorikan masih terkandas di negara yang terbabit,” ” katanya.

Sebagai usaha berterusan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai jenayah ini, Saifudin berkata, usaha sama akan dijalankan bersama pihak Malaysia Airports Berhad.

“Sebelum mana-mana individu keluar negara dan terjebak dengan jenayah ini, kita akan adakan kaunter mengenai jenayah penipuan pekerjaan dan pemerdagangan di pintu keluar negara untuk beri kesedaran kepada orang ramai.

“Di kaunter itu mungkin mereka boleh semak terlebih dahulu sebelum mereka meneruskan langkah, kemudian kita akan buat paparan elektronik atau digital di pintu keluar negara sebagai ikhtiar akhir bagi terus mengingatkan orang ramai,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

𝗣𝗘𝗥𝗛𝗜𝗠𝗣𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗠𝗨𝗥 𝗟𝗔𝗨𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Perhimpunan Bulanan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BIMBING KESELAMATAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Kempen Keselamatan …
Maklumat Lanjut

𝗢𝗣𝗦 𝗞𝗛𝗔𝗦 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗠𝗨𝗔𝗧𝗔𝗡

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Unit Operasi …
Maklumat Lanjut