DERMA DARAH

Sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya.

DERMA DARAH… sekiranya anda pernah menderma darah walaupun sekali, anda adalah merupakan insan yang istimewa dan sumbangan yang telah diberikan tidak ternilai harganya!! Untuk menderma darah seseorang didorong oleh banyak faktor termasuk kesedaran diri sendiri untuk berbakti, ingin membantu pesakit yang mungkin terdiri daripada saudara mara dan kawan, ataupun akibat pengaruh rakan-rakan dan saudara mara.

Sepertimana kita sedia maklum, darah merupakan satu komponen penting dalam perawatan kesihatan. Keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan dan swasta. Rawatan kes-kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit-pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan pemindahan darah.

Sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia adalah untuk menjadikan sekurang-kurangnya 5 % rakyat Malaysia sebagai penderma darah. Walaupun sasaran ini masih belum tercapai, namun jumlah pendermaan darah kebelakangan ini telah menunjukkan peningkatan daripada setahun ke setahun.

Segala usaha dan matlamat untuk membekalkan darah yang secukupnya untuk kegunaan pesakit tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada seluruh anggota masyarakat. Kesedaran di kalangan masyarakat adalah amat perlu sekiranya kita ingin menjadikan pendermaan darah ini sebagai satu tanggungjawab dan budaya hidup seluruh masyarakat.

Jenis-Jenis Pendermaan

Pendermaan darah boleh dilakukan melalui dua cara, iaitu pendermaan darah penuh (whole blood donation) dan pendermaan secara aferesis (apheresis donation).

Pendermaan Darah Penuh (Whole Blood Donation)

Ini merupakan pendermaan darah yang biasa dilakukan. Darah yang didermakan ini akan diproses di makmal kepada beberapa komponen seperti Plasma, Platelet dan Sel Darah Merah (Packed Cell).

Komponen-komponen Darah

 

  • Sel darah merah

 

 

 

 

  • Platelet

 

 

 

 

  • Plasma

 

 

 

Isipadu darah yang diambil bergantung kepada berat badan penderma. Jumlah maksima darah yang diambil ialah 450 ml bagi berat badan melebihi 50 kg. Sekiranya berat badan di antara 45-50 kg, kuantiti darah yang diambil ialah sebanyak 350 ml. Keseluruhan proses menderma darah mengambil masa lebih kurang 30 minit. Penderma darah penuh ini boleh menderma setiap 2-3 bulan sekali.

Pendermaan Aferesis (Apheresis Donation).

Pendermaan aferesis ialah pendermaan plasma dan platelet, atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis. Masa yang diambil untuk menderma adalah di antara 30 minit hingga 45 minit bagi Plasma dan 45 minit hingga 75 minit untuk menderma Platelet. Oleh kerana melalui pendermaan aferesis sel darah merah penderma tidak diambil, penderma boleh menderma dengan lebih kerap. Tempoh antara pendermaan ialah setiap 2 minggu sekali. 

Kriteria Penderma Darah dan Aferesis

Sebelum layak mendaftar diri sebagai seorang penderma,darah, seseorang bakal penderma perlulah memenuhi beberapa kriteria asas berikut:

Penderma Darah Penuh ( Whole Blood ):

  • Berumur di antara 17 hingga 60 tahun (jika berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis ibubapa/penjaga)
  • Berat badan melebihi 45 kg.
  • Sihat fizikal dan mental serta tiada masalah kesihatan yang kronik.
  • Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan dan tidak mengambil minuman beralkohol dalam jangka waktu terdekat sebelum hari pendermaan.
  • Tidak berpuasa dan telah mendapat tidur yang cukup (lebih 5 jam) sebelum menderma darah.
  • Menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama 1 tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)

Bagi penderma aferesis, selain kriteria di atas, terdapat beberapa kriteria tambahan iaitu:

  • Berumur tidak melebihi 55 tahun
  • Berat badan 55 kg dan ke atas.
  • Telah menderma darah penuh sekurang-kurang 2 kali dan pendermaan terakhir tidak lebih daripada 6 bulan.
  • Mempunyai salur darah yang sesuai (besar dan jelas)

Kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh Pegawai Perubatan atau Jururawat yang bertugas. Seseorang bakal penderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang didermakan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Pihak tabung darah menjalankan prosedur yang ketat dalam pemilihan penderma bagi menjamin kualiti darah. Selain tahap kesihatan yang baik, penderma daripada kalangan mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko tinggi adalah DILARANG sama sekali untuk menderma darah. Ini termasuklah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan, mereka yang terlibat dalam kegiatan pelacuran atau melanggani pelacur, dan mereka yang mengamalkan perhubungan seks sejenis atau bertukar-tukar pasangan seks.

Pendermaan darah perlu dibuat dengan rasa tanggungjawab untuk membantu para pesakit. Oleh itu, semua bakal penderma hendaklah jujur semasa menjalani sesi kaunseling sebelum menderma. Keengganan berbuat demikian hanya akan menambahkan risiko kepada pesakit yang berkemungkinan menerima darah yang tercemar.

Proses Pendermaan Darah

  • Penderma perlu mengisi borang/kad pendaftaran pendermaan darah.
  • Menimbang berat badan
  • Menjalani ujian darah bagi mengenalpasti kumpulan darah dan kandungan hemoglobin darah.
  • Menjalani sessi kaunseling dengan Pegawai Perubatan / Jururawat.
  • Pendaftaran dan penderma diberikan buku penderma darah.
  • Seterusnya, proses menderma darah yang mengambil masa di antara 7 – 15 minit.
  • Selepas selesai pendermaan dan jarum dikeluarkan, penderma perlu berehat sekurang-kurangnya 10 minit sebelum bangun.
  • Penderma akan dihidangkan dengan makanan / minuman ringan

Nasihat Kepada Penderma Selepas Menderma

  • Selepas menderma,penderma dinasihatkan berehat di katil menderma darah selama sekurang-kurangnya 10 minit. Selepas itu, bolehlah bangun daripada katil sekiranya tiada apa-apa masalah seperti loya, pening, kepucatan atau rasa hendak pitam.
  • Penderma juga digalakkan mengambil minuman dan makanan yang telah disediakan selepas menderma.
  • Dinasihatkan meminum banyak air selepas dalam tempoh 12 jam selepas menderma menderma Ini adalah untuk mengembalikan cecair yang hilang semasa pendermaan darah.
  • Jangan mengambil minuman beralkohol untuk beberapa jam selepas menderma.
  • Jangan mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti berat seperti payung terjun, menyelam, berenang mendaki gunung serta sukan lasak dalam tempoh 24 jam selepas menderma.

Pusat-Pusat Pendermaan Darah

Pendermaan darah boleh di buat di Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur dan juga tabung-tabung darah hospital kerajaan yang terpilih di seluruh negara. Perkhidmatan menderma darah di tabung darah ini dibuka pada setiap hari bekerja mengikut waktu pejabat (sila hubungi tabung darah masing-masing untuk jadual terperinci).

Unit Pendermaan Darah Bergerak (Mobile Blood Donation)

Selain daripada pendermaan di tabung darah, program pendermaan darah bergerak juga giat dijalankan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menderma darah. Ianya dijalankan di pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, kilang-kilang, pusat-pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat membeli belah. Program ini dijalankan melalui kerjasama dan sokongan daripada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan-pertubuhan pelajar serta badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat atau pertanyaan lanjut berkaitan pendermaan darah dan waktu menderma darah ini dengan menghubungi Pusat Darah Negara atau tabung-tabung darah di hospital yang berhampiran.

 

Rujukan: Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

GANGGUAN IT: LIMA AGENSI KERAJAAN, SEMBILAN SYARIKAT SWASTA TERJEJAS

Kementerian Digital memaklumkan sebanyak lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 …
Maklumat Lanjut

PENGENDALI WHATSAPP DAN TELEGRAM PERLU BERTANGGUNGJAWAB TANGANI JENAYAH DALAM TALIAN

PENGENDALI WHATSAPP DAN TELEGRAM PERLU BERTANGGUNGJAWAB TANGANI JENAYAH DALAM TALIAN Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata, isu-isu melibatkan dua platform …
Maklumat Lanjut

MANFAAT PEKA B40

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40 adalah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk untuk …
Maklumat Lanjut