KOSMETIK, IKAN SEJUK BEKU ANTARA DIRAMPAS, NILAI LEBIH RM1.6 JUTA

SHAH ALAM, 26 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas pelbagai produk kosmetik dan ubat-ubatan, minuman keras serta ikan sejuk beku bernilai RM1.634 juta menerusi serbuan di sekitar Pelabuhan Klang pada 11, 12 dan 16 Mac lalu.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata serbuan di sebuah jeti persendirian di Pelabuhan Klang pada 16 Mac lalu menyaksikan pihaknya menyita 17 guni yang mengandungi pelbagai produk kosmetik yang disyaki diseludup dari luar negara.

Ia terdiri daripada 68 jenis produk kosmetik, jamu dan ubat-ubatan pelbagai jenama yang tidak mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan, disyaki diimport dari negara jiran dengan nilai dagangan kira-kira RM1.30 juta.

“Ia dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan. Seorang lelaki tempatan berumur 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes pada 11 Mac pula anggota JKDM Zon Tengah menahan sebuah kontena di kawasan Zon Bebas, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 11 Mac dan merampas 15,840 liter minuman keras dipercayai tidak mempunyai permit import dianggarkan bernilai RM382,000.

Dalam satu lagi kes, JKDM Zon Tengah merampas 6,300 kilogram ikan sejuk beku (frozen fish) dipercayai tidak mempunyai permit import.

Rampasan dagangan tidak diikrar bernilai RM31,740 itu ditemukan di dalam sebuah kontena yang ditahan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, dan jika bersalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …