GELOMBANG HABA adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas. Di Malaysia, GELOMBANG HABA ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37°C untuk 3 hari berturut-turut.
Pada 23 Mac 2024, satu amaran telah dikeluarkan oleh MET Malaysia yang menunjukkan enam (6) daerah di negeri ini mengalami gelombang haba tahap 2 yang mana suhu harian maksimum dijangkakan boleh mencecah sehingga 40°C. Daerah-daerah yang terlibat adalah Kubang Pasu, Pokok Sena, Kota Setar, Padang Terap, Sik dan Baling.
Suhu panas luar biasa mula melanda negeri-negeri di utara Semenanjung sejak dari awal tahun yang lalu dengan Kedah tidak terkecuali menerima kesan daripada fenomena El Nino ini. Dalam satu hantaran melalui Facebook Rasmi MKN Kedah, rata-rata warga maya dan penduduk di negeri ini menyatakan cuaca panas melampau ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian mereka. Anak-anak yang baru memulakan sesi persekolahan terdedah dengan gelombang haba dan boleh menjejaskan kesihatan mereka. Tambah mencabar, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada ketika ini dan kurangnya hidrasi boleh membahayakan kesihatan.
Antara saranan dan tips untuk kekal sihat adalah kurangkan aktiviti di luar. Sekiranya perlu keluar, guna topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan. Pilih pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar untuk mengurangkan haba terkumpul di badan. Kekalkan hidrasi, terutamanya ketika bersahur dan semasa berbuka puasa. Lebihkan meminum air minuman dan kurangkan minuman berkafein atau bergula. (Sumber, Kementerian Kesihatan Malaysia).
Orang awam dinasihatkan untuk mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. Ikuti panduan penjagaan kesihatan bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik sepanjang musim gelombang haba.