Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah telah menganjurkan Program Pemupukan Minda Keselamatan Melalui Permainan Papan Bersama Pengamal Media Negeri Kedah yang bertempat di Pho Su Vietnam Cafe, dekat sini.
Program diadakan bertujuan untuk menyantuni dan menghargai usaha pengamal media di negeri Kedah yang sentiasa menyediakan laporan dan berita yang telus serta tepat terutamanya berkait dengan isu keselamatan di negeri ini. Malah, hal ini dijelaskan secara langsung di dalam Matriks Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 yang turut mengangkat peranan media selaku pemain komunikasi strategik terpenting dalam menyampaikan dasar dan polisi berkait keselamatan negara.
Dalam program yang berlangsung semalam, 14 orang pengamal media yang hadir telah diperkenalkan dengan satu inisiatif baru MKN Kedah dalam usaha mendekati dan memahamkan masyarakat awam mengenai Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan isu-isu keselamatan negara.
Inisiatif pembentukan minda keselamatan melalui permainan papan telah mula dilaksanakan oleh MKN Kedah sejak tahun lepas dengan menyasarkan remaja sebagai golongan sasar utama. Sesuai dengan situasi keselamatan pada masa kini yang semakin kompleks dan bersifat dinamik, pendekatan yang digunapakai dengan menjadikan permainan papan sebagai medium pengajaran adalah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu-isu keselamatan terkini dalam suasana yang lebih santai, mudah difahami dan mudah diterima.
Pengarah Keselamatan Negeri Kedah, Puan Zuraini Mohd Yusof berkesempatan beramah mesra dengan pengamal media yang hadir sambil berkongsikan pandangan dan maklumat mengenai isu-isu keselamatan semasa selain turut berbuka puasa bersama.
Turut hadir di dalam program tersebut adalah Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Encik Adie Suri Zulkefli dan wakil Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Puan Intan Iryani Mohamad.

