PPM TERIMA 10 BUAH BOT BAHARU POLICE STRIKE CRAFT RHAB FULL CABIN

Johor Bahru, 14 Mac 2024 – Pasukan Polis Marin (PPM) menerima aset baharu berupa 10 buah bot di bawah Projek Perolehan Bot Police Strike Craft, Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Full Cabin yang telah diluluskan oleh Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, dengan kos keseluruhan bernilai kira-kira RM32.8 juta.
Sebanyak enam buah bot telah diserahkan kepada formasi masing-masing pada 23 November 2023 manakala selebihnya diserahkan dalam satu majlis penerimaan rasmi yang berlangsung di Grand Ballroom Hotel Berjaya Waterfront, di sini, petang tadi.
Majlis dimulakan dengan menandatangani dokumen penyerahan rasmi 10 buah aset baharu di antara Pengarah Urusan Syarikat Dalac Marine Engineering and Services Sdn. Bhd., Tuan Md Shakri @ Md Nasir Ali dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr. Abdul Gapar Abu Bakar sambil disaksikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain.
Berucap dalam majlis tersebut, KPN menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khususnya KDN serta pihak-pihak berkaitan yang telah bertungkus lumus bagi merealisasikan projek perolehan aset bot baharu ini.
Beliau berkata, penambahan aset baharu itu melengkapkan lagi keupayaan pihak berkuasa khususnya PPM dalam memperkasakan tugas rondaan dan cegah jenayah di perairan negara selain dapat mengekang pencerobohan di sempadan.
“Keupayaan enjin jentera bot RHAB ini mampu meluncur pada kelajuan antara 45 hingga 55 knot dalam apa jua keadaan yang pastinya akan memberikan kegerunan kepada penjenayah,” ujarnya lagi.
Selesai sesi menandatangani dokumen penyerahan, Tan Sri Razarudin dibawa ke Jeti Berjaya Waterfront untuk meninjau sekitar bot RH71 dan melihat sendiri keupayaan aset baharu tersebut ketika dipandu uji seterusnya menyempurnakan perasmian penerimaan aset berkenaan di dalam inventori PDRM sebagai tirai penutup majlis.
Seusai itu, Tan Sri Razarudin berkesempatan menyantuni warga Pasukan dalam satu majlis berbuka puasa selain menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak secara berjemaah yang kemudiannya menunaikan solat sunat Tarawih serta menikmati moreh bersama warga Pasukan di Surau Markas PPM Wilayah 2.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Seri Sahabuddin Abd Manan, Ketua Polis Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu, Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Hamzah Hj. Ahmad, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad dan Komander PPM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Norzaid Hj. Muhammad Said.

Artikel/Berita Terkini

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut

KERJA ADALAH IBADAH DAN AMANAH

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗘𝗥𝗛𝗜𝗠𝗣𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗠𝗨𝗥 𝗟𝗔𝗨𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Perhimpunan Bulanan …
Maklumat Lanjut