KOTA KINABALU: Seorang pemilik restoran berusia 34 tahun didenda sejumlah RM15,000 kerana membenarkan tiga pendatang tanpa izin tinggal di premisnya.
Shihan Mohd Salim mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, pada Selasa. Shihan didapati membenarkan tiga warga Filipina berusia 21 dan 38 tahun itu tanpa dokumen sah pukul 4.10 petang pada 7 Ogos, 2023 di bilik pekerja di Grace Square, Jalan Pantai Sembulan, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63 itu membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda antara RM5,000 dan RM30,000, atau kedua-duanya, bagi setiap pendatang tanpa izin terlibat. Mahkamah memerintahkan Shihan membayar denda RM5,000 atau penjara 60 hari bagi setiap pendatang tanpa izin yang terlibat.
Semasa mitigasi, Shihan merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Abu Sopian dari Jabatan Imigresen menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada Shihan malah kepada orang ramai.
Mahkamah diberitahu ketiga-tiga warga Filipina itu ditahan semasa Ops Sapu selepas mereka ditemui di dalam premis itu. Siasatan lanjut mendapati premis itu dikendalikan oleh Shihan dan dia terus ditahan kerana membenarkan pendatang tanpa izin tinggal di premis itu.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Harian Ekspres Sabah