SUAMI ISTERI MENGANGGUR DIDAKWA EMPAT TUDUHAN MENCURI

Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas empat pertuduhan mencuri di sekitar Port Dickson, bulan lalu. Tertuduh, Amirul Mu’minin Mustaffa, 38, dan Nor Asedah Zaidi, 38, yang masing-masing tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, pada 20 Januari lalu kira-kira jam 1 petang hingga 4.30 petang, mereka dengan niat telah mencuri iPad dan telefon bimbit bawah jagaan seorang lelaki di kawasan parkir, Pantai Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson.Tertuduh juga telah mencuri harta kepunyaan seorang wanita iaitu komputer riba dan telah menggunakan kad bank serta mengeluarkan wang milik mangsa serta seorang lagi wanita di mesin pengeluaran wang automatik yang keseluruhan berjumlah RM3,052.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 Januari lalu antara jam 11.30 pagi hingga 2 petang di tempat letak kereta di Batu 8, Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson dan sebuah stesen minyak di Jalan Pantai, Port Dickson. Selain itu mereka turut didakwa mencuri kamera dan lensa jenama Sony di bawah jagaan seorang lelaki di hadapan banglo Maybank, Blue Lagoon, Teluk Kemang, Port Dickson pada 4 Februari lalu.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat. Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 26 Mac depan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzati Mohd Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Iwana Sakinah Mohd Lajis.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

LEMBU BERKELIARAN, PBT LAKSANA TANGKAPAN SECARA AGRESIF

Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan melaksanakan tangkapan lembu secara lebih agresif bagi mengelakkan kemalangan jalan raya …
Maklumat Lanjut

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA KAWALAN BEKALAN 1961

RANTAU PANJANG 08 Mei : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada PDRM Balai Polis Jeram Perdah …
Maklumat Lanjut