20,880 OPERASI IMIGRESEN, TAHAN 58,508 PENDATANG ASING SEJAK 2022

SHAH ALAM, 29 FEB: Jabatan Imigresen menahan 58,508 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 20,880 operasi penguatkuasaan seluruh negara sejak 1 Januari 2022 hingga 27 Februari lalu.

Menteri Dalam Negeri berkata 871 majikan ditahan dalam tempoh itu kerana melindungi dan menggaji PATI yang menjadi kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lima negeri mencatat bilangan PATI paling tinggi didahului Selangor diikuti Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“(Bagi Selangor) berdasarkan aduan orang ramai dan risikan Jabatan Imigresen di Klang, lapan kawasan panas diklasifikasikan sebagai kawasan paling ramai PATI termasuk Pasar Borong Klang dan Pasar Besar Klang.

“(Kawasan lain) GM Klang, kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, kawasan industri Pulau Indah dan bandar Bukit Tinggi,” katanya.

Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (HARAPAN-Klang) di Dewan Rakyat hari ini yang mahu tahu kekerapan serbuan dilakukan jabatan itu di Klang bagi membanteras PATI.

Saifuddin berkata pemantauan secara rutin dilaksanakan dengan 36 serbuan dibuat di Klang sejak awal tahun hingga kini dengan 2,054 PATI dan lapan majikan ditahan.

“Ini bermakna operasi penguatkuasaan di Klang adalah (hampir) selang sehari. Itulah komitmen berterusan kami khusus untuk menangani perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata jumlah pekerja asing sah dan memegang pas lawatan kerja sementara di negara ini berjumlah 2.1 juta ketika ini.

“Bila kita buat serbuan proses pertama adalah membuat pemeriksaan dokumen dan sebagainya. Yang ditahan ini (termasuk) tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan kerja,” katanya.

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …