MAPIM GESA BADAN ANTARABANGSA HANTAR KAPAL DENGAN MUATAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa badan antarabangsa bagi melaksanakan tekanan secara global untuk memasuki Gaza, Palestin dengan menghantar sekumpulan kapal membawa bantuan kemanusiaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini kerana gerakan dengan kapal flotila melalui Laut Mediterranean dilihat sebagai satu sahaja laluan untuk ke Gaza.

“Semua negara yang mampu dan sanggup menyertai dalam menghantar kumpulan kapal mereka yang membawa bantuan kemanusiaan yang dihalang daripada memasuki Gaza. “Gesaan untuk satu tindakan bersepadu bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk di Gaza yang kebuluran dan menjadi pelarian tidak sepatutnya ditangguhkan lagi.

“Semua kerajaan yang meminta supaya dilaksanakan gencatan senjata tidak seharusnya teragak-agak menyertai langkah terakhir ini untuk menyelamatkan Gaza daripada pembunuhan beramai-ramai.

“Tekanan antarabangsa perlu dilakukan bersungguh-sungguh untuk memaksa sekatan di Gaza dibuka dan penyaluran bantuan harus dilanjutkan dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua agensi antarabangsa gagal mengekang jenayah genosid rejim Israel di Gaza.

Beliau menegaskan Israel mengenakan kepungan yang menjejaskan Semenanjung Gaza sejak 2006 yang menggugat penjagaan kesihatan paling asas, makanan, air minum, juga infrastruktur penting untuk membantu kehidupan.

Beliau berkata sejak 7 Oktober 2023, kemusnahan infrastruktur dan kehilangan nyawa daripada pengeboman dan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan telah mengakibatkan malapetaka yang dahsyat di Gaza.

“Pembunuhan beramai-ramai paling kejam ke atas warga Palestin di Gaza dalam lebih dari 140 hari, malah semasa perbicaraan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Israel telah melaksanakan pengeboman tidak henti-henti meragut ratusan nyawa setiap hari.

“Serangan selama lima bulan dengan lebih daripada 29,000 kematian orang awam (termasuk lebih 15,000 kanak-kanak) dan 70,000 mangsa cedera adalah lebih daripada cukup untuk merumuskan bahawa Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang amat kejam,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …