NIOSH PERUNTUK RM12 JUTA TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL DI TEMPAT KERJA

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi menyediakan latihan secara percuma kepada 10,000 golongan pekerja menerusi program latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata program yang julung kali diperkenalkan di negara ini dengan sokongan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara itu bertujuan melatih individu berkeupayaan memberikan intervensi awal terutama di tempat kerja kepada rakan sekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Beliau berkata ia juga merupakan salah satu usaha kementerian dalam meningkatkan soal perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja, bukan sekadar dari aspek fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan mental.

“Ini juga soal menghapuskan stigma masyarakat dan tempat kerja mengenai isu kesihatan mental, menerusi program ini kita nak bawa mesej, ‘it is okay to seek help’, dan saya percaya apabila kita wujudkan satu ekosistem pekerjaan yang kawal kesihatan mental pekerja, maka produktiviti jugak akan bertambah positif.

“Jadi saya harap selain penjawat awam, sektor swasta dan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) juga boleh merebut peluang latihan percuma ini untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, malah mereka (swasta, PMKS) boleh mendapat tuntutan levi daripada HRD Corp selepas selesai latihan ini yang diadakan selama tiga hari,” katanya kepada pemberita hari ini.

Steven Sim berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-6 bertemakan ‘The Future of Work’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

NIOSH sebelum ini pernah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja yang bertujuan membantu mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi kerja tidak terjejas.

– BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut