EVOLUSI RUMAH WARISAN NEGERI SEMBILAN

Rupa bentuk seni bina adalah manifestasi pengaruh sejarah, budaya, cara kehidupan harian, kepercayaan, adat dan alam sekitar atau kedaerahan sesuatu tempat.

Di Negeri Sembilan misalnya, adat dan budaya di negeri itu didominasi oleh pengaruh Minangkabau lalu membentuk hubungan yang berkait dan ia terlihat jelas dalam reka bentuk dan seni binanya yang unik.

Perubahan budaya dan pengaruh luar dari masyarakat Minangkabau sedikit sebanyak mempengaruhi reka bentuk seni bina di Negeri Sembilan. Selain itu, kedaerahan atau setempat serta sebab alam turut memainkan peranan penting dalam membentuk tipologi rumah di Negeri Sembilan selain daripada pengaruh kedudukan sosial dan adat istiadat. Hal ini menjelaskan perbezaan rumah warisan Negeri Sembilan dengan negeri-negeri lain.

Keunikan yang dapat dilihat pada rumah warisan Negeri Sembilan ini adalah pada rekaan seni bina rumah yang dikatakan campuran dari pengaruh Minangkabau dan tempatan. Namun, perkembangan rumah warisan di Negeri Sembilan dapat dilihat berdasarkan budaya dan kehendak masyarakat dengan penambahan ruang seperti serambi dan anjung bagi setiap keperluan keluarga.

Terdapat perbezaan antara rumah tradisi Minangkabau dan rumah tradisi Negeri Sembilan terutama daripada reka bentuk bumbung dan ruang rumahnya. Adaptasi rumah warisan Negeri Sembilan dapat dilihat pada bentuk bumbung yang melengkung sedikit atau reka bentuk bumbung panjang yang bersifat lentik sedikit sahaja, manakala rumah tradisi Minangkabau bumbungnya bergonjong dan melentik.

Identiti dan imej rumah warisan Negeri Sembilan selalu disalahertikan oleh masyarakat sehingga kini dan dikatakan persamaan dengan reka bentuk rumah Minangkabau. Rumah warisan Negeri Sembilan sering disebut sebagai rumah Minangkabau sehingga menyebabkan perlu diterangkan bagaimana evolusi rumah ini berlaku.

Perubahan reka bentuk bermula dari rumah Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia. Penghijrahan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan sedikit sebanyak mempengaruhi reka bentuk rumah tradisional di Negeri Sembilan. Keunikan rumah adat Negeri Sembilan ini mencerminkan pancaran sistem adat Perpatih berkekerabatan matrilineal, dengan reka bentuk susun atur ruang dalamannya dibentuk berdasarkan keperluan dan keharmonian kaum ibu dan keturunannya supaya mereka dapat menjalankan aktiviti harian dan adat dengan sempurna.

Setiap binaan dan struktur asas rumah, seperti tiang, bumbung, bendul, tingkap dan tangganya dikatakan dibina sebagai mewakili pelbagai maksud yang tersendiri dan dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu dan hubungan erat dengan alam sekitar. Rumah Negeri Sembilan mempunyai identitinya tersendiri yang melambangkan keunikan masyarakat adat Perpatih yang diamalkan oleh orang-orang Negeri Sembilan walaupun dipengaruhi oleh masyarakat Minangkabau.

Perkembangan evolusi rumah bermula dari Sumatera Barat, Indonesia dengan rumah induk tanah datar, Agam dan Lima Puluh Kota, kemudian ke Kampar Siak, Sumatera Barat hinggalah sampai ke Negeri Sembilan.

Perbezaan ketara dapat dilihat adalah bumbung rumah Minangkabau yang asal bergonjong, mencacak tajam di beberapa hujung bumbung. Evolusi berlaku apabila berada di Kampar-Siak yang jauh sedikit dari Tanah Datar, didapati rumah yang dipengaruhi oleh masyarakat Minangkabau.

Namun, terdapat perbezaan evolusi pada bumbung pada rumah tradisional Negeri Sembilan mempunyai bumbung panjang, mempunyai atap bertingkat di antara atap bumbung rumah hadapan (rumah ibu) dan atap serambi dengan menggunakan satu perabung memanjang dari kiri ke kanan atau arah dari hulu ke hilir selari dengan jalan atau sungai.

Secara umumnya, dapat dirumuskan bahawa adat dan kebudayaan masyarakat membentuk hubungan yang berkait, menyerlahkan tamadun orang-orang Melayu seperti dapat dilihat melalui reka bentuk dan seni bina. Perubahan budaya dan pengaruh luar memberikan perkembangan pemikiran serta mengubah corak kehidupan orang Melayu. Pada masa yang sama juga, ia mengubah ciri dan reka bentuk seni bina di Negeri Sembilan.

Kedaerahan atau setempat serta sebab alam memainkan peranan penting dalam membentuk keunikan rumah di Negeri Sembilan selain dari pengaruh kedudukan sosial dan adat istiadat. Rumah warisan Negeri Sembilan mempunyai ciri-ciri keunikannya tersendiri apabila seni binanya sering dikaitkan dengan pengaruh adat Perpatih yang bersistemkan kekerabatan bernasabkan ibu dalam adat perpatih.

 

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut