7 PULAU DI TERENGGANU YANG MENARIK UNTUK BERCUTI

Selain pulau di Sabah dan pulau di Pahang, Terengganu juga mempunyai destinasi percutian di pulau-pulau yang sangat cantik serta bertaraf dunia. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 10 buah pulau di Terengganu, namun yang paling ideal untuk datang bercuti sama ada untuk aktiviti snorkelingscuba divingbercuti dan sebagainya, hanya 7 sahaja. Baki pulau yang lain masih boleh dilawati tetapi mungkin agak terhad dari segi pengangkutan, kemudahan fasiliti dan pilihan penginapan untuk pelancong.

Namun, harus diingat, kepulauan di Terengganu ini terletak di Laut China Selatan dan tidak digalakkan untuk ke sini pada musim tengkujuh yang selalunya berlaku antara Oktober hingga Mac setiap tahun. Antara pulau-pulau yang menarik adalah:

  1. Pulau Redang – Pulau di Terengganu yang Paling Popular

Pulau Redang terletak kira-kira 46km dari pesisiran pantai Kuala Terengganu dan merupakan pulau terbesar daripada semua pulau yang ada di Laut China Selatan dan dalam perairan negeri Terengganu. Pulau Redang mempunyai air laut yang sangat jernih serta memiliki lokasi menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia. Kalau snorkeling di sini anda boleh berjumpa dengan banyak hidupan marin dengan mudah. Pada waktu tengah hari ketika cahaya matahari memancar menembusi laut, dari darat sudah boleh melihat batu karang di dasar laut dan ikan-ikan yang berwarna warni berenang. Pulau Redang sememangnya syurga bagi mereka yang kaki berenang, snorkeling, scuba diving, berkenu dan jungle trekking.  Harus ingat bahawa aktiviti memancing tidak dibenarkan di dalam 3.2km radius dari Pulau Redang kerana telah digazetkan sebagai taman marin yang terjaga. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mempunyai dua tempat bersejarah kapal karam iaitu H.M.S Price of Wales dan H.M.S Repulse yang karam ketika permulaan Perang Dunia Kedua dan era permulaan penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

2. Pulau Perhentian – Syurga Untuk Menyelam

Pulau Perhentian terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Nama Perhentian ini diberi kerana dahulunya pulau-pulau ini menjadi tempat perhentian para pedagang yang berlayar di antara Malaysia dan Bangkok. Keindahan Pulau Perhentian masih lagi terjaga dan bahkan kalau nak bersiar-siar di sini, hanya dengan menggunakan denai jalan kaki atau pun teksi bot. Di sini tidak mempunyai jalan raya seperti yang ada di Pulau Tioman atau Pulau Langkawi. Pulau Perhentian juga antara pulau di Malaysia yang sering menjadi destinasi percutian backpacker dari dalam dan luar negara kerana di sini mempunyai banyak pilihan chalet bajet. Bagi yang inginkan keselesaan dan percutian yang lebih eksklusif, di sini juga terdapat resort-resort yang mewah yang terbina di pesisiran pantai di Pulau Perhentian.

3. Pulau Kapas – Destinasi Pulau Yang Santai

Pulau Kapas pula terletak berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu dan kalau nak ke sini anda perlu menaiki bot dari jeti di Marang. Pulau Kapas tidaklah sebesar Pulau Perhentian dan Pulau Redang, dan hanya 2 km panjang dan lebarnya pula sekitar 1 km. Memandangkan Pulau Kapas ini tidaklah sepopular Pulau Redang dan Pulau Perhentian, maka kalau di musim cuti sekolah tidaklah terlalu sesak dengan kehadiran pelancong. Kebiasaanya pelancong ke sini lebih kepada ingin santai, berjemur di tepi pantai, diving dan juga snorkeling. Di sekitar perairan Pulau Kapas juga sering menjadi lokasi bot-bot nelayan untuk bercandat sotong terutamanya pada bulan Jun dan Julai. Setiap tahun, memang banyak badan kerajaan, NGO, badan korporat atau pun yang berkeluarga menyewa bot di jeti Marang untuk bercandat sotong di sekitar perairan Pulau Kapas.

4. Pulau Lang Tengah

Pulau Lang Tengah merupakan pulau kecil yang terpencil yang terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pulau Lang Tengah berada kira-kira 40 km ke arah utara Kuala Terengganu dan kira-kira 22 km dari pesisiran pantai semenanjung. Pelancong boleh ke sini dengan menaiki bot di Jeti Merang yang terletak dalam Daerah Besut. Hanya terdapat dua perjalanan bot ke pulau dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.

5. Pulau Tenggol – Hidupan Marin Bertaraf Dunia

Pulau Tenggol merupakan satu lagi pulau yang sangat cantik yang hanya terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari jeti Kuala Dungun. Sekiranya anda ke jeti Kuala Dungun, jangan lupa untuk singgah di atas Jambatan Baru Dungun untuk melihat keindahan muara sungai Dungun. Walaupun pulaunya hanya sepanjang 3 km sahaja, namun Pulau Tenggol sering menjadi destinasi untuk mereka yang nak menyelam di perairan yang cantik. Dahulunya pulau ini tidak popular dan tidak berpenghuni namun kini mempunyai beberapa hotel dan resorts tepi pantai yang selesa untuk pelancong. Berdasarkan sejarah, dahulunya Pulau Tenggol merupakan penempatan sementara orang Vietnam yang terperangkap selepas Perang Vietnam. Bagi yang sukakan cabaran jungle trekking dan mendaki bukit, anda boleh menaiki bukit di tengah Pulau Tenggol ini yang setinggi 800 kaki.

6. Pulau Gemia

Pulau Gemia merupakan pulau persendirian yang terletak 800 m ke arah utara Pulau Kapas. Perairan di Pulau Gemia juga tidak kurang hebatnya dengan pantai yang cantik dan dikelilingi terumbu batu karang. Destinasi Pulau Gemia sangat ideal untuk mereka yang lebih sukakan ketenangan tanpa kesibukan pelancong yang terlalu ramai. Kebiasaannya pelancong yang datang bercuti di Pulau Gemia lebih sukakan aktiviti yang santai dan untuk berehat menenangkan fikiran tanpa aktiviti-aktiviti lasak di air.

7. Pulau Bidong – Galeria Penyelam di Dasar Laut Terengganu

Pulau Bidong yang terletak di Setiu merupakan destinasi pulau yang sangat terkenal di kalangan penyelam. Dari segi sejarahnya, Pulau Bidong dahulunya pernah menjadi tempat pelarian orang Vietnam ketika era peperangan dahulu. Untuk ke Pulau Bidong, pelancong perlu menaiki bot laju dari Jeti Merang. Di Pulau Bidong, tiada penginapan yang yang dibangunkan mungkin kerana kawasannya yang terlalu berbatu. Perairan Pulau Bidong mempunyai banyak kawasan terumbu karang yang menarik. Terdapat 15 lokasi menyelam di perairan Pulau Bidong yang sering menjadi kunjungan mereka yang selalu scuba diving. Percaya atau tidak, anda boleh berjumpa dengan kepala lori ayam di dasar lautan di Pulau Bidong.

 

Sumber: Cari Destinasi

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut