EL NINO – SELANGOR PUNYAI SIMPANAN AIR SETAKAT 9 BULAN

Shah Alam: 8 FEB : Selangor mempunyai simpanan bekalan air yang dapat menampung keperluan penduduk untuk tempoh kira-kira sembilan bulan bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan.

“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri Selangor itu sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.

“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.

Berkaitan lawatan beliau hari ini, Izham berkata, projek itu merangkumi kerja-kerja pendalaman dan pelebaran 56 kilometer Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing serta pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 membabitkan kos RM700 juta.

Katanya, usaha itu berdepan cabaran ekoran timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam dua hingga tiga meter, berbanding empat meter ketinggian sungai yang menyukarkan operasi pendalaman dan pelebaran sungai.

“Barangan buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya.

“Kami harap, dengan penambahan jentera pengorek sedut pemotong, masalah ini dapat diurus dengan lebih baik,” katanya.

Izham berkata, projek itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40 peratus apabila siap sepenuhnya.

-BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PELAJAR TINGKATAN 5 DIDAKWA TUNGGANG MELULU HINGGA CEDERAKAN POLIS

Remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan …
Maklumat Lanjut

JANGAN CUBA HIDUPKAN SEMULA AJARAN AL-ARQAM – MUFTI NEGERI SEMBILAN

Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba atau berusaha menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Aurad Muhammadiah ikutan …
Maklumat Lanjut

239 PTI WARGA INDONESIA DIHANTAR PULANG KE NEGARA ASAL

PULANG: Sebahagian PTI yang dihantar pulang dari Pelabuhan Tawau. TAWAU: Seramai 239 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia termasuk 12 …
Maklumat Lanjut