TUARAN (4 Februari): Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf laluan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, laluan yang merangkumi jarak antara 100 meter sehingga 300 meter akan dinaik taraf bagi keselesaan dan kemudahan rakyat.
“Ini antara kemudahan yang kita rancang dan akan dilaksanakan di Sulaman tahun ini, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk tujuan itu.
“Banyak lagi kemudahan infrastruktur yang akan kerajaan laksanakan dari semasa ke semasa di kawasan Sulaman dan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peniaga Kecil dan Penjaja Kawasan Sulaman di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di sini, Sabtu.
Dalam majlis itu, seramai 125 peniaga kecil dan penjaja di tepi jalan bagi kawasan Sulaman menerima bantuan wang tunai RM5,000 daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) dan peruntukan Sentuhan Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Hajiji yang juga Pengerusi Sedia berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah yang kini mempunyai lebih 22 ribu Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan pelabur asing serta tempatan yang membuka kilang di Sabah, untuk mengambil pekerja daripada kalangan keluarga termiskin tegar.
Katanya, dengan inisiatif itu, selain usaha daripada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, kerajaan berharap dapat menyelesaikan masalah kemiskinan tegar.
Mengulas bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, beliau berkata ia merupakan antara usaha kerajaan membela nasib golongan terbabit.
Beliau berharap bantuan itu dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka sekali gus membantu meningkatkan pendapatan untuk keluarga.
“Peniaga kecil dan penjaja perlu rajin berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga,” tegasnya.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Sedia, Datuk Seri Hashim Paijan; Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Abdul Kassim Razali; Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Johari Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Harian Ekspres Sabah