KUANTAN, 4 FEBRUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai Larian Kemakmuran sejauh 10km bersempena Karnival Rakyat Pahang di sekitar Bandar Kuantan, seawal jam 7.30 pagi tadi.
Turut mengiringi baginda ialah Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Karnival Rakyat Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Menurut YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, acara Larian Kemakmuran ini mendapat sambutan yang sangat ramai daripada peserta khususnya rakyat Pahang sendiri.
“Terima kasih kepada rakyat Pahang yang memeriahkan karnival selama tiga hari, Karnival Rakyat Pahang ini yang diadakan sempena memuliakan Keberangkatan Balik KDYMM Sultan Pahang ke Negeri Pahang setelah tamat pemerintahan sebagai YDPA selama lima tahun,” katanya.
Lebih 6,000 penyertaan telah diterima dengan seramai 1,877 peserta bagi kategori larian 5km, 232 orang bagi kategori 10km dan 247 peserta bagi acara berbasikal 60km manakala selebihnya merupakan peserta bagi acara ‘brisk walk’ sejauh 5km.
Kesemua peserta ‘brisk walk’ turut berpeluang menikmati kecantikan seni jalanan di sepanjang laluan trek di Kuantan Art Street selain dihiburkan dengan persembahan pelbagai kaum seperti Gendang Cina, Gendang India dan Silat Melayu.
Para peserta ‘brisk walk’ juga turut diberikan peluang untuk menyertai permainan di ‘check point’ dengan pemberian cenderahati kepada setiap pemenang.
Karnival diteruskan dengan acara Sukan Rakyat diikuti sukan lasak ‘skateboard’ dan BMX di perkarangan Dataran Sayangi Kuantan bersebelahan Kompleks MBK.
Sumber : Pahang Media