FELCRA SASAR TIGA JUTA AYAM PEDAGING SETAHUN

MACHANG: FELCRA Berhad menyasarkan gandaan pengeluaran sebanyak tiga juta ayam pedaging setahun selepas projek kompleks di Tanjung Seratus, Pahang yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pada fasa pertama projek, pengeluaran ayam pedaging yang mampu dihasilkan hanyalah 1.5 juta setahun sebelum ini.
“Setakat ini perkembangan projek perintis di Tanjung Seratus sudah melebihi 80 peratus dan berjalan dengan baik walaupun agak terlewat beberapa bulan untuk siap kerana faktor cuaca yang tidak dapat dielakkan.
“Walau bagaimanapun, kami yakin dan percaya pada penghujung 2024 ini ia akan dapat beroperasi sepenuhnya dan kami akan menggandakan pengeluaran reban yang dibina secara bertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan Yaakub Tertutup Kelantan di Sekolah Kebangsaan Machang 1, di sini, pada Jumaat.
Oktober tahun lepas, Bernama melaporkan, Ahmad Jazlan memaklumkan pembinaan projek kompleks ternakan ayam pedaging berskala besar secara sistem tertutup di Tanjung Seratus, Pahang meliputi 10 reban dijadualkan siap sepenuhnya pada Februari tahun ini dan berada pada tahap 60 peratus siap, namun sudah beroperasi secara percubaan dengan dua pusingan tuaian hasil.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, walau bagaimanapun, reban-reban sudah siap beroperasi bagi pengeluaran ayam dari semasa ke semasa sementara menunggu reban lain yang masih dalam proses pembinaan.
“Sebelum ini hanya lima pusingan tuaian hasil setiap tahun dan kami berusaha untuk mengeluarkan seboleh-bolehnya enam pusingan setiap tahun.
“Kami mempunyai perancangan untuk memperluas projek kompleks ternakan ayam pedaging di Bagan Datuk (Perak), Padang Terap (Kedah) dan Kuala Lipis (Pahang),” katanya.
Beliau berkata, FELCRA turut melihat potensi Kelantan untuk dijadikan satu daripada pusat ternakan ayam di bawah FELCRA namun lokasinya masih belum dipastikan lagi.
Beliau berkata, dengan kewujudan Pejabat Wilayah FELCRA Kelantan, pihaknya akan mewujudkan satu bahagian khusus keterjaminan makanan negara untuk diperluaskan.
Sumber : BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut