KUANTAN, 24 JANUARI 2024 : Rakyat di Negeri Pahang diseru agar terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan menghindar segala tohmahan daripada pihak pembangkang bagi memastikan segala pembangunan terus dapat dilaksanakan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang sentiasa memastikan Pahang dan rakyatnya sentiasa terjaga serta dapat menikmati segala kemakmuran negeri daripada hasil yang diperoleh setiap tahun.
“Sebagai kerajaan kita seharusnya memberi pertimbangan untuk memberi kelulusan sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan. Kita di Pahang Alhamdulillah, sudah dua tahun berturut-turut melebihi RM1 bilion hasil pengurusan kewangan dan pengurusan kerajaan yang baik dan kita berikan semula kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kerajaan Pahang kepada 32 penerima dengan jumlah keseluruhan RM434,226.20.
Pemberian cek sumbangan oleh Kerajaan Pahang merupakan bantuan berterusan kepada rakyat yang memohon dan layak merangkumi bantuan pendidikan, perubatan, belia, sukan dan sebagainya.
Justeru itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sumbangan ini bukanlah ‘rasuah’ sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang yang sentiasa memanipulasi segala bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang kepada rakyat.
Malah katanya, sumbangan ini diberikan kepada semua rakyat tanpa memilih ‘bulu’ dan fahaman politik bagi memastikan semua rakyat Pahang tidak keciciran daripada menikmati hasil yang diperoleh oleh kerajaan.
Sumber : Pahang Media