SEMBILAN STESEN KTMB DINAIK TARAF, SATU BINA BAHARU

Sembilan projek naik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dilakukan di kawasan Lembah Klang dengan satu stesen dibina baharu di sini membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM280 juta.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, projek di bawah Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) itu melibatkan stesen Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu 3, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam, Pelabuhan Klang dan satu stesen baharu, Stesen Seremban Sentral.

Menurutnya, kesemua projek itu dimulakan serta-merta manakala Stesen Seremban Sentral akan menjadi mercu tanda yang paling moden di bandar raya Seremban, dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Ini merupakan komitmen kerajaan untuk terus memberikan kemudahan dan infrastruktur yang baik dalam sistem landasan kita. Ia merupakan hala tuju baharu kerajaan, kita mahu menjadikan pengangkutan awam sebagai satu mod yang penting.

Beliau tahu ramai yang mengeluh dan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan KTM (Keretapi Tanah Melayu) masih lambat kerana kekerapan tidak begitu tinggi. Ini disebabkan oleh projek menaik taraf landasan kita masih berjalan. Bagaimanapun beliau berkata, semua projek itu berjalan serentak supaya dalam masa beberapa tahun nanti, tiada lagi gangguan kepada pengguna.

Pada masa sama pihaknya cuba melakukan mitigasi lain antaranya meningkatkan kekerapan kereta api. Justeru beliau berharap pengguna dapat menggunakan aplikasi KTMB supaya mengetahui waktu perjalanan agar tidak perlu menunggu lama di stesen, dan pihaknya sedaya upaya memastikan kekerapan ini akan ditambah terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, katanya, Stesen Seremban Sentral akan menitikberatkan kepentingan warisan sejarah stesen asal dan akan mengintegrasikan aspek-aspek kemodenan dalam pembinaan semula stesen tersebut.

Reka bentuk stesen ini juga akan mengambil inspirasi daripada reka bentuk yang unik di sekitar kawasan Negeri Sembilan iaitu konsep bumbung Minangkabau selain menitikberatkan pembangunan yang lestari mesra.

Seremban Sentral seluas kira-kira sembilan hektar berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit menghimpunkan komponen termasuk rumah mampu milik, pejabat dan hotel seperti KL Sentral tetapi dalam skala rendah selain dijangka menjana nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut