PENJARA 18 BULAN KERANA JUAL DIESEL PETRONAS KEPADA PIHAK LAIN

19 Januari 2024

 

 

KOTA KINABALU (18 Januari) : Seorang bekas kapten kapal pada Rabu dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjual 7,000 liter diesel dengan nilai semasa RM42,000 milik syarikat minyak dan gas Malaysia kepada pihak lain.

Jasmun Suhur, 60, mengaku bersalah di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim atas tuduhan melakukan pecah amanah semasa menjadi kapten kapal yang diamanahkan dengan 7,000 liter minyak diesel milik Petroleum Nasional Berhad (Petronas) di atas kapal Express 71 di ERB West di sini antara jam 11.22 malam pada 21 April 2023 dan pukul 1.18 pagi pada 22 April, tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara satu tahun dan 14 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Noor Hafizah memerintahkan Jasmun menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 9 Jan tahun ini.

Jasmun dikecualikan hukuman sebatan kerana usianya sudah mencecah lebih 50 tahun.

Terdahulu, pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa polis menerima maklumat dan aduan daripada Logistik Huluan Petronas berhubung isu penyelewengan diesel milik Petronas.

Siasatan mendapati kapal Express 71 itu disewa oleh syarikat yang dilantik sebagai kontraktor kecil oleh syarikat lain yang diberikan projek mengangkut pekerja pelantar minyak.

Bagi mengisi minyak projek itu, diesel akan diberikan secara percuma kepada kapal yang terlibat dalam projek itu dan kapal Express 71 telah menerima diesel secara percuma daripada Petronas.

Jasmun dilantik sebagai kapten kapal oleh syarikat tersebut, kata pendakwaan.

Siasatan lanjut mendapati kru kapal mengesahkan Jasmun turut menjual bahan api itu kepada pihak lain.

Kru melihat Jasmun menerima bayaran setiap kali warga asing membeli minyak dan memindahkan diesel dari Express 71 ke kapal lain.

Tidak diwakili, Jasmun memohon hukuman ringan dengan mengaku kesalahannya dan ia adalah kesalahan pertamanya.

Tambah Jasmun, dia mempunyai ramai tanggungan dengan lapan anak yang masih bersekolah dan perlu membayar perbelanjaan lain.

Pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya PG Johari memohon hukuman lebih berat sebagai langkah pencegahan kepada orang ramai.

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

Sumber : Harian Ekspres (Sabah)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …