PEDi MELAKA SEDIA BANTU MASYARAKAT LUAR BANDAR DAFTAR PADU

AYER KEROH 4 Januari – Kesemua Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di negeri ini akan digerakkan bagi membantu masyarakat di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, PADU yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan satu pangkalan data penting dalam menyalurkan bantuan dan subsidi secara bersasar.

Oleh itu, kata beliau, setiap rakyat di negeri ini perlu dibantu bagi membolehkan mereka mendaftar melalui sistem tersebut dan tidak tercicir daripada menerima bantuan atau subsidi disediakan kerajaan.

“Pangkalan data ini amat penting untuk kerajaan mendapatkan maklumat yang benar daripada rakyat dan seterusnya dapat menyalurkan bantuan dan subsidi secara bersasar dengan lebih tepat.

“Oleh itu, saranan saya agar rakyat di negeri ini ambil peluang untuk mendaftar sehingga 31 Mac 2024 dan tidak perlu risau mengenai keselamatan maklumat diri kerana ia telah dijamin oleh CyberSecurity Malaysia.

“Sama ada layak atau tidak, jangan bimbang untuk mendaftar kerana kita tidak mahu ada yang tercicir daripada menerima segala bantuan yang diberikan kerajaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Perdana Menteri ketika melancarkan PADU di Putrajaya pada Selasa, memaklumkan pangkalan data itu adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan.

PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …