CUBAAN SELUDUP DAUN GANJA DIGAGALKAN APMM KEDAH PERLIS

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya merampas dua kilogram daun ganja segar bernilai lebih RM 6 ribu yang cuba diseludup masuk dari negara jiran pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Kemarung sekitar jam 10.00 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, rampasan kali ini dibuat berikutan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi telah mengesan sebuah bot fiber sedang bergerak masuk ke perairan Langkawi dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Bertindak atas maklumat, Maritim Negeri Kedah dan Perlis telah mengatur gerak bot peronda yang sedang melakukan operasi dalam OP AMAN dan OP TIRIS 2.0 ke lokasi berkenaan bagi memintas dan menyerbu bot terbabit.

Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek yang disyaki membawa daun ganja tersebut, bertindak membuang tiga bungkusan plastik ke laut dan menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi meloloskan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik yang dibuang telah menemukan daun ganja segar dengan anggaran berat dua kilogram bernilai RM6 ribu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada pengguna tempatan.

Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750.

Sumber: CUBAAN SELUDUP DAUN GANJA DIGAGALKAN APMM KEDAH PERLIS

Pegawai APMM mengambil bungkusan berisi daun ganja yang dibuang ke laut oleh suspek. FOTO: APMM

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM LOKAKARYA MEMUGAR: MEMPERKASA BELIA GEN-Z 2026

Program Lokakarya Memugar: Memperkasa Belia Gen-Z 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya pada 9 hingga 11 Oktober 2026 bertempat di Pusat …

JIMAT TENAGA ATAU CEKAP TENAGA – SAMA KE?

Ramai mungkin menganggap kedua-duanya sama, tetapi sebenarnya ada perbezaan. Jimat tenaga ialah usaha mengurangkan penggunaan tenaga, contohnya memadamkan lampu atau …

BELANJAWAN MADANI 2027: APLIKASI AI NSRC KESAN SCAM PERKUKUH PERLINDUNGAN RAKYAT DARIPADA ANCAMAN PENIPUAN DIGITAL

Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 memperkenalkan inisiatif pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) …