Sepang – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor telah menganjurkan program Tautan Kasih MADANI 2023 pada 18 Oktober 2023 bertempat di Pertubuhan Kebajikan Baitul Barakah Wal Mahabbah, Sepang, Selangor. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Faizatul Aini binti Mohd Adnan, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor.
Nilai ihsan dilihat antara rukun yang boleh menjadi tonggak paling signifikan dalam menyumbang kepada pembentukan masyarakat MADANI. Ihsan dalam konteks Malaysia MADANI ditafsirkan cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan, iaitu mengasihi orang lain merangkumi ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan termasuk golongan minoriti.
Didoakan semoga anak-anak pelajar di Pertubuhan Kebajikan Baitul Barakah Wal Mahabbah yang terdiri dari kalangan asnaf, fakir miskin dan anak yatim terus cemerlang dan dipermudahkan dalam urusan seharian. InshaAllah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 77:
“Dan kejarlah ganjaran yang telah dikurniakan Allah kepadamu di akhirat kelak, akan tetapi janganlah engkau melupakan bahagianmu (yakni keperluan dan bekalan) di dunia ini; dan berbuat ihsanlah sebagaimana Allah berlaku ihsan kepadamu; dan janganlah engkau melakukan fasad di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”