JKDM TUMPASKAN SINDIKET EDAR DADAH, IKRAR SEBAGAI SUPLEMEN RUPANYA KOKAIN

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan modus operandi mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen (makanan tambahan) ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi rampasan dadah jenis kokain pada 1 Ogos lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan, sindiket tersebut ditumpaskan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menerusi serbuan pada pukul 8 malam dan telah menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.

Hasil pemeriksaan telah mendapati kesemua kotak mengandungi botol kaca yang turut mengandungi kapsul disyaki dadah berbahaya jenis kokain dengan berat kasar 88 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM17.6 juta.Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat alat ganti kenderaan iaitu brek cakera kereta di dalam setiap kotak.

Modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai supplement sedangkan di dalamnya terdapat botol kaca yang mengandungi dadah berbahaya dan alat ganti kenderaan. Sindiket juga menggunakan nama syarikat palsu sebagai syarikat penerima di dalam waybil udara.

Siasatan awal mendapati dagangan tersebut diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir. Siasatan juga mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan dan ini menyukarkan tangkapan di buat ke atas pengimport dagangan tersebut.

Bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek berkemungkinan warga tempatan kerana destinasi terakhir adalah di sini.

Secara keseluruhan kes dadah yang diperoleh JKDM untuk tahun ini sehingga bulan Julai lalu adalah melibatkan sebanyak 382 kes dengan nilai RM180.502 juta.Nilai kes yang tertinggi adalah jenis ekstasi sebanyak 11 kes berjumlah RM96.19 juta diikuti kokain bernilai RM61.64 juta dan methamphetamine sebanyak RM10.5 juta.

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut