SERI NEGERI 3 Ogos- Kerajaan Negeri akan membina satu arca pelancongan bernilai RM500,000 di Pantai Puteri bagi menceriakan lokasi peranginan tersebut sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata arca berbentuk joran itu akan dibina dan diangkat menjadi ikon pelancongan di kawasan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor itu.
Katanya, peruntukan sebanyak RM600,000 juga diperuntukan bagi membina kawasan penempatan penjaja di Pantai Puteri.
“Kesemua peruntukan telah dimohon kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menceriakan dan menaik taraf kawasan tarikan pelancong di Pantai Puteri.
“Manakala untuk menyerikan lagi Pantai Puteri pada waktu malam, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memasang lampu di sepanjang kawasan tersebut dengan nilai RM160,000.
“Insya-Allah lepas ini, Pantai Puteri pada waktu malam akan terang benderang sempena TMM2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu berbangkit Tuminah Kadi@Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) mengenai usaha menaik taraf Pantai Puteri sempena TMM2024, pada hari ketiga Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut memaklumkan pihaknya menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri akan memastikan pintu masuk ke negeri ini menarik dan ceria.