Membawa agenda pemikiran keselamatan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi bersama kumpulan rentan, belia. Perbezaan generasi mewujudkan bentuk pemikiran berbeza di kalangan setiap kelompok komuniti di dalam negara. Mengambil kira sebuah kajian yang menunjukkan peningkatan ketara peratusan pelajar lepasan SPM yang tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah berpandangan bahawa kumpulan rentan ini harus didekati.
Berteraskan semangat cintakan ilmu dan bermatlamat menyelongkar kreativiti di kalangan anak muda, MKN Kedah telah menyantuni 400 orang pelajar Kolej Vokasional Langkawi dalam satu sesi modul permainan papan berasaskan keselamatan.
Perkongsian yang disampaikan secara santai ini berjaya menarik minat hampir keseluruhan peserta dan seterusnya membuka mata mereka mengenai ancaman keselamatan yang kini bukan lagi bersifat tradisional. Isu keciciran Pendidikan juga mampu memberi impak besar terhadap situasi keselamatan dalam negara sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Ancaman keselamatan pada masa kini semakin dinamik seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat.
Antara penekanan yang diberikan di dalam perkongsian ini adalah berkenaan peranan setiap warganegara dalam menjaga dan memelihara kedaulatan negara. Prinsip Rukun Negara diulas dan diolah dalam bahasa yang mudah bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada setiap peserta.
Konsep keselamatan menyeluruh yang diperkenalkan bukan sahaja meliputi peranan setiap kelompok masyarakat dalam menekuni isu keselamatan tetapi juga mengenai pemahaman bahawa setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita adalah berkait dengan keselamatan seperti digariskan di dalam Teras-Teras Keselamatan Negara. Hal ini bersesuaian dengan slogan yang dibawa oleh MKN iaitu ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’.