Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Terengganu telah berjaya menahan tiga bot nelayan asing Vietnam dalam masa tidak sampai satu jam ketika rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada Jumaat lalu.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, tiga bot telah ditahan oleh pasukan Maritim pada kedudukan kira-kira 123 batu nautika dari Kuala Terengganu selepas dikejar kapal KM Redang selama 30 minit.
Bot nelayan pertama dengan nombor pendaftaran asing ditahan sekitar jam 10 pagi bersama 15 kru termasuk tekong, manakala bot kedua ditahan 10 minit kemudiannya bersama 14 kru dan tekong. Seterusnya, bot ketiga dipercayai bot nelayan asing tanpa permit yang dinaiki 12 kru bersama tekong pula ditahan pada jam 10.30 pagi.
Selain itu, tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara. Semua kru yang ditahan di bawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta melibatkan bot, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel kira-kira 1,500 liter dan hasil tangkapan ikan campur seberat 100 kilogram. Selain itu, bot-bot ini turut dipercayai merupakan transit ke negara jiran namun pihak APMM tidak menolak kemungkinan mereka turut menangkap ikan ketika transit selain menggunakan pengenalan bot palsu untuk mengaburi pihak berkuasa.
Kes tangkapan ini merupakan kes tangkapan bot nelayan asing ke tujuh pada tahun ini di Terengganu dan Maritim Malaysia akan terus melakukan rondaan bagi mengekang sebarang pencerobohan dalam perairan negara.
Sumber: Sinar Harian