Selain dari pendapat yang mengatakan nama Negeri Terengganu berasal dari perkataan ‘Taring Anu’ yang diceritakan pada artikel lepas (Bahagian Pertama), ada juga pendapat lain yang tidak kurang masyhur akan asal usul nama Negeri Terengganu.
Ada juga pendapat yang mengatakan ‘Terengganu’ berasal dari satu kejadian cahaya kilat yang amat terang benderang disertai bunyi yang terlalu dahsyat umpama petir membelah bukit yang mana cahayanya itu disaksikan oleh penduduk pantai di Negeri Kelantan. Cahaya itu begitu terang sehingga ke Kuala Terengganu. Penduduk yang ingin mengingati kejadian tersebut seterusnya menamakan sempadan itu sebagai “Terang Ganu” yang membawa maksud terang hingga ke sana. Walau bagaimanapun, kebenaran cerita ini belum dapat disahkan kesahihannya.
Satu cerita lagi mengatakan pada satu masa dahulu, satu rombangan dari Kelantan ada belayar sampai di Kuala Sungai Taring Anu (Kuala Terengganu). Sesampainya mereka di waktu petang, hari pun sangat redup dan gelap serta hujan renyai-renyai. Kebetulan di waktu itu ada cahaya terang di awan-awan langit dipanggil orang ” Ular Mayang” orang Kelantan kata “Pelangi”.
Mereka pun bertanya : Di sini orang panggil apa?
Jawab orang negeri ini: “Kami panggil ganu”.
Kata mereka:”Terang sungguh ganu di sini”.
Apabila mereka itu balik ke Kelantan, mereka pun bercerita “Negeri jiran kita bukan main terang ganu di sana serta diterangnya erti ganu itu.
Suatu lagi kemungkinan mengenai nama Terengganu terbit dari nama sungai “Terengan” timbulnya pendapat ini, setelah rombongan Persatuan Sejarah Cawangan Terengganu, membuat lawatan ke kawasan ‘Sungai Terengan’ pada 5 hingga 11hb. Julai 1975 serta memerhati keadaan di sekelilingnya dan letak pecahan sungai itu.
Muara Sungai Terengan berpecah dua, sebelah kanan mudik menghala ke sungai Kerabat dan di sebelah kirinya Kuala Terengan dan sungai Terengganu. Terengan pada masa dahulu telah menjadi sebuah kampong di Ulu Terengganu, jaraknya dari Kuala Terengganu Mati lebih kurang 24 km atau 40 km dari Kuala Berang mengikut sungai.
Oleh kerana keadaan pecahan anak sungai sedemikian kemungkinan pada zaman dahulu orang ada bertanya dengan soalan ini: hendak ke mana? Ke Terengan…nu (sana) atau ke Terengan…ni (ini) bererti ke sungai Terengan atau ke sungai Kerbat.
Ataupun terbit dari sebutan panggilan atau pertanyaan dari penduduk-penduduk asli yang datang atau mengembara dari sebelah jalan Ulu Pahang atau Ulu kelantan yang sampai ke pecahan Ulu Sungai Terengan itu, lalu mereka pun bertanya : Ke mana hendak pergi atau hendak tuju? Ke Terengan ni atau ke Terengan….nu.
Adalah dikatakan menurut pendapat ahli-ahli kajibumi yang melawat ke sebelah Ulu Terengganu, bahawa di bahagian Ulu itu asalnya boleh dikatakan laut atau sungai besar dengan berpandukan kepada kesan-kesan dan tanda-tanda yang dijumpai, Walau bagaimanapun, bentuk muka bumi ini telah berubah setelah ribuan tahun.
Petikan : Sejarah Darul Iman
Oleh : Dato’ Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha)