KONFLIK DAN RISIKO SEKURITI MAKANAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025 

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 7: PEMBANGUNAN MAMPAN (Sekuriti Makanan) 

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan konflik sebagai perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan lain-lain (Kamus Dewan Edisi Keempat). Konflik yang berlaku di sebuah negara atau antara negara boleh mengakibatkan tercetusnya peperangan. Tun Dr. Mahathir Mohammad menerusi ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 memaklumkan masih terdapat ideologi bahawa konflik antara negara boleh diselesaikan dengan peperangan.  

Merujuk kepada karya agung Ibn Khaldun, dapat diterjemahkan bahawa peperangan dan pelbagai jenis perbalahan telah wujud sejak dari Allah SWT mencipta alam ini. Peperangan itu sudah menjadi lumrah manusia dan tiada negara atau kaum yang terlepas daripada itu (Ibn Khaldun, 1967). Namun, peperangan bukanlah solusi untuk segala sesuatu dan semestinya bukan solusi terbaik merungkai konflik.  

Manakala, daripada perspektif kepentingan makanan, umum mengetahui bahawa satu daripada keperluan asas manusia adalah makanan, tanpa makanan manusia tidak dapat meneruskan hidup kerana tidak mempunyai tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk berfungsi. Oleh yang demikian, menjadi satu keperluan utama bagi sesebuah negara memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat dan hal ini berkait rapat dengan terma sekuriti makanan. Menurut Noorfazreen M.A dan Asmak A.B, 2011, sekuriti makanan membawa maksud yang berbeza bergantung kepada situasi terma tersebut digunakan seperti berikut: 

  • Di peringkat antarabangsa, sekuriti makanan membawa maksud pertanggungjawaban semua negara bagi memastikan pasaran dan harga makanan stabil; 
  • Di peringkat kebangsaan, sekuriti makanan bermaksud keupayaan memastikan penawaran makanan yang stabil dalam pasaran domestic; dan 
  • Di tahap perseorangan, ianya bermaksud kecukupan bekalan makanan yang memenuhi keperluan. 

Pelbagai bentuk konflik yang mampu menganggu gugat kemampanan sekuriti makanan di sesebuah negara, ini termasuklah wabak penyakit, bencana alam, ketidakstabilan politik dan juga peperangan.  

Di Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor pertanian. Ia merangkumi pelbagai dasar dan program bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara atau sekuriti makanan. Antara dasar yang telah dijalankan oleh MAFS ialah Dasar Pertanian Negara Pertama hingga Ketiga yang bermula pada tahun 1984 dan Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang dilaksanakan pada tahun 2008. Namun yang terbaru adalah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.  

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 telah dibangunkan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan. Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif ini dijangka akan dapat memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa, khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan. 

Dalam hal ini, MAFS mengambil beberapa langkah proaktif untuk menangani impak konflik luar jangkaan, sebagai usaha memastikan sumber bahan mentah serta input pertanian mencukupi. Selain itu, MAFS turut memandu negara ini ke arah merancakkan pengeluaran makanan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import.  

Erti kata Malaysia kini mempunyai Pelan Tindakan yang sangat baik, dan perlu diteruskan serta dimantapkan agar bekalan makanan negara tidak terjejas jika berlakunya situasi yang tidak diduga. 

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut