PAWANA RAMADAN: JOM BERWAKAF

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 6: KEADILAN SOSIAL (Memelihara Golongan Rentan)

 Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut dari sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (‘ain). Manfaat harta yang diwakafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus (yang ditetapkan) dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. oleh pewakaf. Allah s.w.t. telah berfirman, yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” – Surah al-Baqarah: 195.

Wakaf adalah berasal dari perkataan Arab ‘Al-Waqf’ yang bermaksud harta yang diwakafkan. Dari segi syarak, Majlis Agama Islam Negeri Johor menyatakan wakaf merujuk kepada seseorang yang menyerahkan hak miliknya (harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya) kepada pengguna wakaf tersebut dari mula harta diwakafkan hingga ke akhirnya semata-mata kerana Allah s.w.t. Ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu. Dalam erti kata yang lain, wakaf bermaksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf kerana Allah s.w.t. tanpa boleh dimiliki oleh mana-mana individu.

Wakaf adalah suatu ibadah yang disyariatkan dan amat digalakkan dalam Islam. Hukumnya adalah sunat dan ganjaran pahalanya amat besar, berterusan selama mana harta yang diwakafkan itu masih diambil manfaatnya. Wakaf merupakan suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana ‘ain (barangan yang diwakafkan) adalah milik Allah s.w.t. Manakala, manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan mawquf’ ’alaih iaitu pihak yang ditentukan menerima manfaat wakaf. Rukun wakaf aada 4 iaitu Al-Waqif (pewakaf), Al-Mawquf (harta yang diwakafkan), Al-Mawquf’alaih (penerima manfaat wakaf) dan Al-Sighah (lafaz wakaf).

Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Kompilasi Hukum dan Fatwa Berkaitan Wakaf, Zakat, Haji dan Sumber Am’ bagi memperihalkan tentang wakaf. Menurut buku tersebut, wakaf terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:

  1. Wakaf Ahli (Wakaf Keluarga): Wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf.
  2. Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan): Wakaf ini tidak terhad dan terbatas kepada ahli keluarga pewakaf sahaja manfaatnya bahkan diperuntukkan bagi tujuan kebajikan umum termasuk ahli keluarga pewakaf ataupun selain mereka. Ulama telah membahagikan wakaf ini kepada dua jenis, iaitu:
    • Wakaf Am: Diertikan sebagai suatu wakaf yang diwujudkan bagi maksud khairat umum mengikut hukum Syarak, seperti untuk kegunaan keagamaan atau pembangunan ekonomi umat Islam yang boleh dijalankan melalui pelbagai aktiviti menurut hukum Syarak. Contohnya seperti seorang mewakafkan sebidang tanah milik beliau untuk kebajikan am. Dalam wakaf ini, pemegang amanah boleh membangunkan harta wakaf tersebut yang mendatangkan hasil atau manfaat sebaik mungkin tanpa terikat dengan jenis kebajikan atau bentuk pembangunan tertentu. Manakala manfaatnya pula diagihkan kepada apa juga bentuk kebajikan am yang mana pahalanya berterusan kembali kepada pewakaf.
    • Wakaf Khas: Diertikan sebagai suatu wakaf yang diwujudkan bagi maksud khairat tertentu mengikut hukum Syarak, seperti mewakafkan tanah atau hasil (manfaat) daripada tanah berkenaan untuk tapak masjid, surau, sekolah, rumah anak yatim, ahli keluarga dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Berdasarkan kepada kaedah pelaksanaan, wakaf khairi terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:

  1. Wakaf Irsod: Penyerahan mana-mana tanah sebagai wakaf oleh mana-mana Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Persekutuan atau mana-mana perbadanan, Institusi, organisasi atau badan lain menurut hukum Syarak.
  2. Wakaf Saham: Mewakafkan saham-saham syarikat perniagaan dengan pembelian atau saham-saham yang sedia ada. Contohnya seseorang mewakafkan saham syarikat B yang dipegangnya kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
  3. Saham Wakaf: Menggalakkan umat Islam berwakaf melalui wang ringgit (tunai) dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIN dan mewakafkan sijil-sijil tersebut untuk selama-lamanya kerana Allah s.w.t. bertujuan demi manfaat dan kebajikan umat Islam.
  4. Wakaf Musytarak: Penyatuan beberapa wakaf termasuk wakaf yang diwujudkan melalui istibdal dan saham wakaf.
  5. Wakaf Musyrak: Mewakafkan apa-apa hak ke atas mana-mana harta yang dimiliki bersama yang tidak boleh dipecahbahagikan. Menurut kebanyakan ulama‟ harus mewakafkan harta yang dikongsi atau dimiliki bersama dengan orang lain yang tidak boleh dibahagi seperti dua orang mempunyai hak ke atas rumah dan sebuah kereta. Jika salah seorang pemilik mewakafkan bahagiannya, maka wakaf ini adalah sah.

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut