JTKSM SELAMATKAN PEKERJA ASING HUNI PENGINAPAN LANGGAR AKTA 446

SEREMBAN: Seramai 226 orang pekerja asing dengan majoritinya dari Bangladesh diselamatkan dari sebuah blok bangunan kedai di Nilai di sini yang dijadikan asrama pekerja namun tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Kesemua mereka diselamatkan hasil operasi sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Tenaga kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam operasi yang dijalankan petang tadi yang turut disertai oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Sivakumar berkata, lawatan mengejut dan operasi yang diadakan itu adalah hasil laporan pihak Kedutaan Bangladesh kepada pihak kementerian yang menyatakan bahawa sejumlah warga mereka yang dibawa masuk secara sah telah ditempatkan di penginapan yang tidak kondusif.

“Bangunan ini telah dijadikan rumah transit pekerja-pekerja asing dan kami memang kecewa melihat keadaan mereka yang datang dari Bangladesh dan juga Nepal. Tempat penginapan itu telah melanggar Seksyen 24D Akta 446.

“Memang kami mendapati keadaannya tidak menepati syarat yang ditetapkan undang-undang, sehinggakan setiap tingkat yang mempunyai satu bilik terdapat 60 orang di dalamnya.

“Mana boleh, ini adalah bahaya jika berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini seperti kebakaran. Keadaan ini juga tidak baik dan boleh mengganggu kesihatan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan yang diadakan di Jalan BBN 1/7E, Bandar Baru Nilai di sini petang tadi.

Sivakumar berkata, kesemua warga asing berkenaan tiba di negara ini menerusi kuota pekerja asing dibawa masuk yang diluluskan kepada tiga buah syarikat pencucian dan pembersihan serta sebuah syarikat pembuatan.

Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan pekerja asing yang dibawa masuk itu, seramai 226 orang telah ditempatkan sementara di tempat penginapan transit tersebut.

“Mereka sampai ke sini sejak 40 hari lalu dan tidak ditempatkan di mana-mana tempat pekerjaan, mereka tidak tahu apa berlaku kepada mereka. Ada juga yang didapati telah diberikan pekerjaan namun diletakkan pula di sektor yang tidak dibenarkan.

“Tindakan awal kami adalah dengan memindahkan kesemua pekerja yang berada di tempat penginapan tanpa perakuan ini ke Penginapan Berpusat Pekerja (CLQ) yang telah mendapat Perakuan Penginapan di sekitar Bandar Baru Nilai. Mereka akan dipindahkan hari ini juga demi kebajikan dan keselamatan pekerja-pekerja ini.

“Pihak kementerian juga akan menukarkan pihak majikan mereka ini dan letakkan mereka di bawah pihak majikan lain yang benar-benar memerlukan dan masih mencari pekerja asing di tempat mereka,” katanya.

Tambah Sivakumar, sebanyak empat kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, hasil pemerhatian, kesemua pekerja asing itu ditempatkan di sebuah blok bangunan yang mempunyai tiga tingkat lot kedai dengan setiap tingkat mempunyai seramai kira-kira 60 orang pekerja asing.

Kesemua mereka terpaksa berhimpit-himpit di dalam sebuah bilik yang hanya disediakan katil double decker (katil dua tingkat) bersama tilam malah ada dalam kalangan mereka terpaksa tidur di atas lantai dengan hanya beralaskan tilam nipis.-UTUSAN.

Artikel/Berita Terkini

JUMLAH MISKIN TEGAR DI TERENGGANU BERKURANGAN SEBANYAK 3,268

Statistik jumlah miskin tegar di Terengganu menunjukkan jumlah pengurangan sebanyak 3,268 keluarga dalam tempoh empat bulan pada tahun ini. Timbalan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN NEGERI HARGAI PERANAN MEDIA DI SABAH

KOTA KINABALU (7 Mei): Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha …
Maklumat Lanjut

PELAJAR DI NEGARA BERGOLAK DIMINTA KEMASKINI MAKLUMAT KEPADA KEDUTAAN

BONGAWAN (6 Mei): Pelajar terutama di negara bergolak, diminta untuk sentiasa mengemaskini maklumat dan lokasi kepada pejabat kedutaan. Timbalan Menteri …
Maklumat Lanjut