ERA POLITIK BAHARU NEGERI MELAKA

SERI NEGERI 5 April – Melaka menjadi negeri pertama mempraktikkan naratif politik baharu, iaitu Kerjasama Politik atau ‘Political Cooperation’. Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia dapat dilihat menerusi pelantikan 10 Exco baharu Kerajaan Negeri yang berlandaskan Kerajaan Perpaduan dengan komposisi barisan Exco mengambil kira semua parti seperti di peringkat Pusat.

Jelas beliau, naratif baharu yang bersifat inklusif itu bukan sahaja merentasi faktor etnik, bahkan memupuk perkongsian kuasa antara pelbagai kaum dan pelbagai parti politik. Katanya, ia sekali gus memupuk semangat solidariti dan perpaduan antara kaum dalam usaha mentadbirkan negara yang pelbagai etnik dan agama. “Sesungguhnya, dimensi politik dan demokrasi di Melaka kini sudah lebih matang. We have a matured and a vibrant democracy here in Melaka. Sekali gus, tibalah masa kita mengenepikan politik bersifat perkauman dan menyimpan perasaan prasangka sesama kita. Ini bukanlah masa kita bercanggah dan bertelingkah tetapi menumpukan usaha dan tenaga ke arah membangun negeri ini dan menjamin masa depan hampir satu juta rakyat Melaka. Saya tidak mahu prasangka dan perbezaan antara agama dan budaya berterusan menjadi halangan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum dalam konteks permuafakatan politik di Melaka khususnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan-barisan Exco yang baru dilantik.

Ditanya sama ada berdepan kesukaran untuk membentuk barisan Exco daripada komponen parti politik berbeza, Ab Rauf berkata, istilah sukar tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

“Saya mengambil tanggungjawab ini selepas diberi amanah oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi) untuk membangunkan Kerajaan Perpaduan di Melaka. Saya yakin semua wakil rakyat ini boleh ada kebersamaan dan kebersamaan itulah yang akan mencerminkan kematangan politik yang bermula di Melaka,” katanya.

SUMBER: MELAKA HARI INI

Artikel/Berita Terkini

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut

KERJA ADALAH IBADAH DAN AMANAH

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗘𝗥𝗛𝗜𝗠𝗣𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗠𝗨𝗥 𝗟𝗔𝗨𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Perhimpunan Bulanan …
Maklumat Lanjut