ELAK DARI MELAKUKAN PEMBAKARAN TERBUKA KETIKA CUACA PANAS DAN KERING

Met Malaysia menyatakan masih awal untuk meramalkan kemungkinan berlaku fenomena El Nino, kekuatan dan kesannya kepada negara kerana negara lazimnya mengalami musim kering atau secara relatifnya kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya (MBD), iaitu pada sekitar Mei hingga September, berdasarkan corak cuaca pada tahun sebelum ini. Namun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan perlu mengamalkan beberapa langkah positif bagi mencegah berlakunya pembakaran.

Melihat pada keadaan cuaca di Terengganu pada Mac ini dijangka mencatatkan suhu di antara 24-32 darjah celsius dan tiupan angin yang kuat, kebakaran boleh berlaku dengan cepat jika anda melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok. Antara punca kebakaran yang dikenalpasti boleh menyebabkan berlakunya kebakaran adalah seperti:

• Pembukaan tanah gambut bagi aktiviti pertanian dan perladangan: kaedah tradisi lama ini biasa melibatkan proses pengeringan melalui saliran parit dan “tebang dan bakar”;
• Pembangunan sistem saliran tidak terancang: dengan mengalihkan aliran air gambut dan pembukaan tanah gambut untuk pembinaan jalan raya, perumahan, infrastruktur berimpak tinggi, perlombongan, pertanian dan lain-lain;
• Punca api dari puntung rokok dan unggun api: angin sebagai faktor penggalak merebakkan api;
• Persekitaran tanah gambut kering: akibat kurang litupan vegetasi bagi mengekalkan kelembapan persekitaran tanah gambut; dan
• Aktiviti rekreasi seperti perkemahan, memancing dan sebagainya juga boleh menyumbang kepada kebakaran tanah gambut.

Semua pihak dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut atau
membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran tanah gambut samada dengan tujuan
tertentu atau tidak sengaja. Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan di bawah seksyen tersebut.
Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, pihaknya menerima banyak panggilan kebakaran terbuka seperti belukar, hutan, sampah, lalang, rumput dan sebagainya pada Mac ini. Di musim cuaca panas dan berangin ini, orang ramai dinasihatkan supaya jangan melakukan sebarang pembakaran terbuka dan sekiranya pembakaran dilakukan, ianya hendaklah sentiasa diawasi supaya tidak merebak ke rumah kediaman. Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 atau 096234444 (BBP KUALA TERENGGANU) sekiranya ternampak sebarang kebakaran terbuka supaya ianya dapat dikawal@dipadamkan sebelum merebak dengan lebih besar.