PAWANA RAMADAN: BERPUASA DAN KESIHATAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8: KESELAMATAN RAKYAT (Pengukuhan Minda dan Ketahanan Rakyat)

PAWANA RAMADAN: BERPUASA DAN KESIHATAN

 

Amalan berpuasa merupakan ibadah wajib dilaksanakan umat Islam apabila tibanya Ramadan. Umat Islam akan memulakan ibadah berpuasa selama sebulan apabila tibanya bulan Ramadan. Ibadah berpuasa pada bulan ini merupakan tempoh yang istimewa kerana berpuasa pada ketika ini mengundang pelbagai ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.

Namun tahukah kita apa yang dimaksudkan dengan berpuasa? Dari segi bahasa puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu. Dari segi syarak pula puasa bermaksud menahan diri pada waktu siang daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. 

Kini, amalan berpuasa turut diamalkan oleh orang bukan Islam. Amalan berpuasa bukan sahaja memberikan ganjaran spiritual namun secara tidak langsung memberikan kebaikan dari segi kesihatan. Perkara ini telah diakui oleh pakar-pakar kesihatan. Malah menurut pakar-pakar kesihatan lagi, puasa dapat mengawal kesihatan, mencegah penyakit serta menyembuhkannya. 

Antara kebaikan berpuasa dari segi kesihatan ialah:

  • Membantu mengawal diabetis

Berpuasa mampu mengawal penyakit diabetis. Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian di Qatar yang melibatkan 1,301 pesakit diabetis muslim berusia lebih 18 tahun. Hasil kajian tersebut mendapati pesakit yang berpuasa menunjukkan puasa ketika Ramadan secara signifikan terkait dengan penurunan terhadap tahap kolestrol, tekanan darah dan glukoasa darah dalam kalangan pesakit diabetis. Namun begitu, pesakit diabetis tetap perlu mendapatkan nasihat pakar kesihatan masing-masing untuk memastikan anda cukup sihat dan mampu berpuasa.

  • Mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular

Seperti yang umum ketahui, antara faktor penyumbang kepada penyakit kardiovaskular adalah kolestrol darah, tekanan darah sistolik, berat badan, indeks jisim badan (BMI) dan ukur lilit pinggang. Faktor-faktor risiko ini mampu dikurangkan melalui amalan berpuasa dan perkara ini telah dibuktikan melalui satu kajian yang melibatkan 82 orang sukarelawan dengan sejarah kardiovaskular dalam tempoh 10 tahun lalu berumur antara 29 hingga 70 tahun. 

  • Menurunkan berat badan

Berat badan bukan sahaja mampu mempengaruhi penampilan diri namun ianya juga mampu mempengaruhi faktor-faktor kesihatan diri. Berat badan yang berlebihan merupakan salah satu faktor penyumbang kepada penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan. Justeru melalui amalan berpuasa di mana kita menahan lapar dan dahaga dalam tempoh masa 10 jam, tentutlah kita mampu menurunkan berat badan seterusnya mengurangkan risiko penyakit-penyakit lain.

  • Sihat untuk otak

Ya, berpuasa merupakan aktiviti yang sihat untuk otak. Amalan berpuasa mampu meningkatkan daya tumpuan. Hal ini kerana fokus kita adalah lebih baik semasa perut kosong berbanding dalam keadaan kenyang. Perut yang penuh membuatkan seseorang mengantuk. Berpuasa secara tidak langsung mampu membuatkan otak kekal segar dan lambat nyanyuk. Bepuasa mampu mengurangkan risiko penyakit neurodegenaratif seperti penyakit Alzheimer, Parkinson, Huntington dan Demensia atau mudah lupa. 

  • Bantu mengatasi ketagihan

Amalan berpuasa mampu membantu seseorang individu mengawal nafsu secara tidak langsung membantu mengatasi ketagihan merokok, minum kopi, makan berlebihan dan lain-lain lagi. Apabila ketagihan berjaya diatasi, maka tahap kesihatan diri individu akan berada dalam keadaan optimum selain meningkatkan kualiti kesihatan seseorang itu. 

Amalan berpuasa mampu mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada makanan. Banyak manfaat kesihatan daripada amalan berpuasa yang dapat kita perolehi namun ingatlah pada ketika berbuka kita harus berpada-pada dan jangan terlalu mengikut nafsu. 

Seperti yang kita sedia maklum, kesihatan fizikal dan mental adalah berkaitan. Justeru itu, berpuasa bukan sahaja memberikan manfaat dari segi kesihatan fizikal namun mampu memberikan manfaat dari segi psikologi. Dengan berpuasa, ianya dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada minda, dipercayai ia berkaitan dengan paras gula dalam darah yang semakin stabil. 

Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Alan Cott, seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melalui penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Hasil keputusan menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa. Ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Amalan berpuasa mampu mendidik jiwa insan untuk berkongsi nikmat dikurniakan dengan memperbanyakkan amalan sedekah yang mampu membersihkan jiwa daripada perasaan sombong. Puasa mampu menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong dan hasad dengki. Amalan berpuasa mampu membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung menerapkan sifat rendah diri terhadap orang lain dalam diri. Puasa juga mendidik jiwa dengan sifat belas ihsan terhadap orang lain yang hidup susah dan kurang bernasib baik. Dengan itu, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang hidup serba kekurangan. Puasa mampu mewujudkan sifat empati dalam diri seseorang individu itu. 

Ibadat puasa juga mendidik manusia supaya bersifat sabar. Melalui sifat sabar, seseorang itu dapat membentuk karakter dan peribadi yang bermutu tinggi dan mampu membentuk diri sebagai pemimpin yang baik. Sifat sabar adalah seiring dengan sifat tawakal, sebab orang yang bertawakal mestilah sabar dalam menghadapi tanggungjawabnya dan meneruskan perjuangannya, juga tenang dalam menjalankan urusannya hingga sampai kepada matlamatnya. Sifat sabar juga mampu membentuk keharmonian dalam kehidupan kekeluargaan. Dalam erti kata lain, melalui berpuasa emosi kita akan terdidik dan berubah kepada yang lebih stabil dan rasional. 

 

 

 

 

Artikel/Berita Terkini

BISKUT RAYA SERENDAH RM13 SEBALANG

Pengalaman hidup susah sehingga tidak mampu membeli kuih raya pada zaman kanak-kanaknya, mendorong seorang pengusaha biskut dan kek menjual pelbagai …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐊𝐓𝐈𝐕𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐀𝐓𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀𝐀𝐍 𝐊𝐏𝐃𝐍

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Pihak KPDN …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗚𝗘𝗥𝗔𝗞 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut