Mutakhir ini, banyak kejadian jenayah kejam yang berlaku di negara kita dan kebanyakannya berkait dengan kesihatan mental si pelaku. Untuk rekod, masalah kesihatan mental semakin menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda berbanding 2020. Pada tahun 2021, sebanyak 212,319 panggilan diterima oleh MHPSS berbanding pada tahun 2020 dengan hanya 44,061 panggilan.
Lelaki tembak isteri lebih lima das – Perlis
Selepas kelar isteri, bayi 3 bulan sehingga maut lelaki berbogel naik motosikal – Johor Bahru
Dengar bisikan suruh tikam ibu – Melaka
Melihat perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya, MKN Kedah mengambil inisiatif untuk menyebarluaskan kesedaran peri pentingnya menjaga kesihatan mental ini dengan menganjurkan program Bicara Eksekutif; Minda Sihat Negara Makmur. Pelaksanaan program ini juga adalah satu inisiatif dalam menyokong Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 melalui Teras 8: Keselamatan Rakyat, iaitu pendekatan keselamatan berpaksikan insan (people centric security) dan juga bertepatan dengan Matriks Keselamatan Negara di bawah pengukuhan kesihatan minda dan ketahanan rakyat.
Seramai 150 orang peserta dari pelbagai agensi dan jabatan telah menghadiri program yang diadakan di Auditorium Wisma Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar ini. Membawakan tajuk ‘Pengaruh Kesihatan Mental Terhadap Kemakmuran Negara’, Profesor Dr. Huzili Hussin, Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) telah diundang untuk berkongsi pengalaman dan memberi kesedaran kepada peserta tentang pentingnya kesihatan mental dalam kehidupan seharian.
MKN Kedah ingin menyeru kepada masyarakat diluar sana agar sentiasa peka dan cakna kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku agresif.
Selain daripada itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunisasi secara berkesan dengan individu yang mengalami kemurungan, antaranya seperti meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka atau memberi galakan dan bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan professional.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti:
- MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
- Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
- KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214



