RIM 28 Februari – Batik ‘clay’ (tanah liat) dihasilkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim akan dipromosikan sehingga ke pasaran luar bagi memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat di kawasan luar bandar itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sehingga kini komuniti di Kampung Rim sangat aktif dalam menghasilkan produk kraftangan tersebut.
Tambahnya, produk yang dihasilkan itu bukan sahaja unik, malah ia juga diklasifikasikan sebagai produk mesra alam.
“Ini antara usaha kita untuk bangunkan produk-produk dihasilkan komuniti Kampung Rim, biarpun baharu sahaja diwujudkan namun kerjasama antara kementerian serta jabatan terlibat sangat menggalakkan.
“Ini juga salah satu produk tempatan yang kita bawa pada pameran di Johor Bahru sebelum ini dan insya-Allah kita akan bawa juga ke pameran di Kuala Lumpur bulan Mac nanti.
“Sasaran kita untuk jadikan ini sebagai produk industri kraftangan yang datangnya daripada penduduk kampung, selain pembuatannya yang lebih mudah, batik ini juga sangat mesra alam berbanding batik lilin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Khaidhirah yang juga Timbalan Speaker DUN turut berhasrat untuk mempromosikan batik ‘clay’ itu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus membawa jenama DUN Rim ke persada dunia.
“Komuniti ini saya lihat sangat aktif, impian saya nak tengok kalau ianya boleh dijadikan satu produk yang mampu dijayakan orang kampung sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Mereka (penduduk kampung) perlu ada usaha sendiri untuk pasarkan produk ini atau kita sendiri akan wujudkan bengkel khas dalam pembuatan batik clay ini,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)