PELAJAR PHD MALAYSIA DI TURKIYE BANTU JADI PENTERJEMAH DI HOSPITAL MEDAN

SEREMBAN: Seorang rakyat Malaysia yang merupakan pelajar doktor falsafah (PhD) di Turkiye terlibat dalam operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan kejadian gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

Muhammad Syukri Mohamad Misenan, 31, pelajar bidang kimia di Yildiz Technical University, Istanbul, memberitahu, dia dihubungi Kedutaan Besar Malaysia bagi membantu menjadi penterjemah bahasa di HMM yang didirikan di Celikhan.

“Pada mulanya, saya terkejut apabila mendapat panggilan dari pihak kedutaan pada 14 Februari lalu untuk menjadi penterjemah bahasa antara pasukan perubatan dan warga tempatan di HMM.

“Sepanjang perjalanan ke sana amat mencabar disebabkan jalan yang masih ditutup akibat salji tebal dan licin.

“Saya kemudian menaiki helikopter selama 15 minit bersama Angkatan Tentera Udara Turkiye dari Lapangan Terbang Adiyaman untuk sampai ke Celikhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Berkongsikan pengalamannya, anak kelahiran Port Dickson itu memberitahu, dia juga terlibat membantu merawat kes kecemasan di hospital tersebut.

“Saya turut membantu merawat mangsa gempa seperti mereka yang patah kaki atas sebab dihempap runtuhan. Ada juga pesakit yang mengalami asma disebabkan cuaca sejuk dan yang hanya tinggal di dalam khemah untuk berlindung ekoran rumah mereka juga runtuh.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mengikuti misi bantuan gempa bumi. Mungkin ketentuan Allah, saya dipilih untuk membantu dengan kebolehan berbahasa Turkiye.

“Saya mendapat biasiswa pelajaran dari kerajaan Turkiye, saya lihat ini satu peluang untuk saya membalas jasa kepada negara ini,” katanya yang telah lebih tiga tahun menyambung pelajaran di negara itu.

Muhammad Syukri yang merupakan graduan Teknologi Kimia Industri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini berkata, dia berpengalaman menyertai beberapa misi kemanusiaan namun tugasnya kali ini sangat berbeza.

“Pada misi kali ini, ia agak berbeza dengan misi bantuan kemanusiaan yang pernah saya ikuti, kali ini saya bersama dengan anggota ATM. Saya dapat belajar cara kerja mereka yang efisien, pantas dan teratur,” katanya yang bakal menamatkan pengajian pada Jun 2024.

Sumber– UTUSAN

 

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut