DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8 : KESELAMATAN RAKYAT (KESELAMATAN MAKANAN)
SEKILAS PANDANG: DEMAM BABI AFRIKA (ASF) DI PULAU PINANG
Demam Babi Afrika (ASF) ialah penyakit berjangkit babi yang dahsyat, dan biasanya membawa maut. Sehingga hari ini belum ada vaksin untuk memerangi virus ini. Walaupun ia tidak menjejaskan kehidupan manusia atau spesies haiwan lain selain daripada babi dan babi hutan, ia boleh menjangkiti sama ada melalui sentuhan haiwan secara langsung atau melalui penyebaran makanan yang tercemar (contohnya sosej atau daging mentah).
Satu lagi kebimbangan dengan ASF ialah virus itu boleh disebarkan melalui manusia yang menjejak baja atau rembesan badan lain dari lokasi ke lokasi yang berfungsi sebagai vektor mekanikal virus. Virus ini juga boleh bertahan beberapa bulan dalam daging yang diproses, dan beberapa tahun dalam sembelihan beku.Oleh itu penyebaran penyakit ini menerusi produk daging menjadi kebimbangan khusus nya penghantaran rentas sempadan.
Berdasarkan laporan dari Sinar Harian, kes ASF yang terawal dikesan adalah di dua buah ladang di Valdor dan sehingga kini, sebanyak 11,943 ekor babi telahpun dimusnahkan bagi membendung penularan wabak ini. Bagaimanapun, pada 3 Februari 2023 yang lalu, wabak ASF dilaporkan telah merebak lagi ke 3 buah ladang babi komersial yang menjadikan keseluruhan 27 ladang ternakan terkesan dengan penularan wabak terbabit. Langkah drastik telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengisytiharkan penyakit ASF di negeri itu sebagai bencana. Menurut berita yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian, penularan ASF yang sangat cepat telah menyebabkan ladang babi komersil di 4 daerah di Pulau Pinang iaitu ladang di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan terkini ladang di Daerah Barat Daya (DBD) telah dikesan positif wabak itu.
Antara langkah yang diambil oleh JPV untuk membendung wabak ASF ialah dengan mengeluarkan Notis Perintah Kuarantin kepada ladang babi yang berkaitan dan menyekat pergerakan babi. Babi dari ladang yang berkaitan juga akan dimusnahkan di bawah Seksyen 19 Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2013) manakala babi dari ladang yang disahkan bebas jangkitan dibenarkan disembelih di pusat penyembelihan yang diluluskan sahaja, bagaimanapun, sembelihan dan daging babi tidak dibenarkan untuk diangkut ke negeri lain.
Pemusnahan dilakukan dengan gas karbon dioksida dan mengikut Kod Amalan Kebajikan Haiwan dan garis panduan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai ditanam. Para pemilik ladang babi yang terjejas digesa untuk segera melaporkan perkara itu kepada JPV bagi urusan pembayaran pampasan dan pelupusan babi yang terkesan dengan penyakit ASF.