NEGERI SEMBILAN BUKA TKPM DI GEMAS

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan seluas kira-kira 40 hektar di Gemas, dekat sini, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata projek itu bertujuan menggalakkan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan berskala besar menggunakan teknologi terkini.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti tanaman sayur-sayuran, kontan dan napier.

“Usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan TKPM ini adalah bagi memenuhi keperluan rakyat tempatan mendapatkan bekalan bahan makanan yang mencukupi dan berkualiti.

“Melalui usaha ini, kita berharap ia dapat menampung permintaan tempatan sekali gus menjamin keterjaminan bahan makanan penduduk,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Bakri juga berkata, pembukaan kawasan baharu bagi tanaman padi juga sudah dikenal pasti di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Londah, Gemas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, berkata usaha sedang dilakukan bagi menyediakan sistem pengairan dengan kerjasama Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Kita (kerajaan negeri) perlu menambah kawasan tanaman padi untuk memastikan keperluan beras bagi pasaran tempatan terjamin,” katanya dengan projek berkenaan akan dapat dimulakan tidak lama lagi sebaik sistem pengairan dapat disiapkan.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 1,000 hektar kawasan tanaman padi di Negeri Sembilan membabitkan di Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Jelebu dengan kawasan Jelebu paling luas membabitkan hampir 500 hektar.

Bakri berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk memulih dan memajukan tanah terbiar di negeri itu.

“Sebelum ini terdapat lebih 2,000 hektar tanah sawah yang terbiar namun ketika ini ia tinggal sekitar 1,000 hektar selepas dipulih dan dimajukan dengan tanaman yang sesuai seperti jagung dan beberapa tanaman lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan atau gudang lama untuk melaksanakan projek pertanian menegak (vertical farming) sebagai alternatif bagi menampung keperluan makanan pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan bukan suatu keutamaan ketika ini, namun akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Ia bukanlah kaedah baharu tapi boleh difikirkan untuk dilaksanakan kerana ia popular di Singapura kerana dapat menjimatkan ruang.

“Tanaman menegak ini biasanya membabitkan jenis sayuran bertingkat seperti sawi, bendi dan salad,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

 

Artikel/Berita Terkini

𝗣𝗘𝗥𝗛𝗜𝗠𝗣𝗨𝗡𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗟𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗧𝗨𝗔 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗦 𝗗𝗔𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗠𝗨𝗥 𝗟𝗔𝗨𝗧

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Perhimpunan Bulanan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BIMBING KESELAMATAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Kempen Keselamatan …
Maklumat Lanjut

𝗢𝗣𝗦 𝗞𝗛𝗔𝗦 𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛 𝗠𝗨𝗔𝗧𝗔𝗡

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Unit Operasi …
Maklumat Lanjut