SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 2023 (SHWP 2023)

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 (SHWP 2023) akan memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pelaksanaan program SHWP 2023 yang berlangsung sepanjang bulan ini, juga berkonsepkan mesra rakyat dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Seri Rosida Jaafar berkata SHWP 2023 mengambil tema ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ yang membawa maksud kepada aspirasi JWP untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang mencerminkan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan seluruh komuniti di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata tema itu juga melambangkan nilai muafakat yang dimiliki oleh semua warga tidak kira latar belakang bangsa, kaum dan agama seterusnya menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang maju.

“Pemilihan tema ini adalah seiring dengan matlamat nasional Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada keterangkuman dan kesaksamaan dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Saya percaya pemilihan tema ini mampu merangsang semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama memajukan serta memakmurkan bumi Wilayah Persekutuan ke arah sebuah bandar raya metropolitan lestari dan berdaya huni,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Beliau berkata program utama yang dijadualkan termasuk Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah, Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan dan Formasi Muzikal Air yang melibatkan pertunjukan air pancut berirama dan hiasan berlampu pada sepanjang bulan ini di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Turut diadakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang telah bermula pada 15 Jan hingga 28 Feb ini dan program Mucang-Mucang Se Wilayah yang merupakan sinonim kepada aktiviti gotong-royong dalam dialek Brunei.

“Selain itu, program lain yang dirancang adalah Program Jualan Peniaga dan Penjaja Kecil, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 2 Feb, Khutbah Jumaat Khas sempena SHWP 2023 pada 3 Feb dan Program Derma Darah,” katanya.

Rosida berkata semua program SHWP 2023 disusun selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-19 sejak diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

Artikel/Berita Terkini

TIPS KEKAL SIHAT KEPADA BAKAL HAJI TAHUN 2024 INI

Kepada bakal jemaah haji, berikut adalah vaksin yang wajib dan amat digalakkan untuk diambil : Wajib – Meningococcal Amat digalakkan …
Maklumat Lanjut

MASALAH KEWANGAN SALAH SATU PUNCA KESIHATAN MENTAL

Pada 4 Oktober 2023, Public Health Malaysia telah menggunakan platform media social facebook bagi membuat tinjauan punca yang menjejaskan kesihatan …
Maklumat Lanjut

MELUASKAN AKSES DAN MENINGKATKAN KUALITI DALAM PENDIDIKAN BERI MAKNA KEMERDEKAAN NEGARA

Pendidikan merupakan perkara penting dalam alaf pemodenan pada hari ini. Semenjak di dalam kandungan, kanak-kanak telah didedahkan dengan pelbagai bentuk …
Maklumat Lanjut