DUA LADANG TERNAKAN CURI BEKALAN AIR TERAWAT

SEREMBAN: Dua ladang ternakan lembu dan kambing di Mantin di sini diserbu selepas didapati mencuri bekalan air terawat dibekalkan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains).

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd. Fazil Ismail berkata, ladang ternakan berkenaan mendapat bekalan air secara tidak sah dengan menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter (mm).

“Bekalan air yang diambil daripada sambungan yang disyaki tidak sah ini dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti harian mereka sama ada untuk kegunaan pekerja atau melibatkan pengurusan di ladang ternakan berkenaan.

“Siasatan rekod mendapati kedua-dua premis ini juga tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan Sains,”katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di Mantin di sini hari ini.

Difahamkan ketika serbuan dibuat, pemilik ladang ternakan berkenaan iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an telah melarikan diri.

Sementara itu, ujar Mohd. Fazil lagi, ujian klorin yang dibuat di lokasi tersebut turut membuktikan ia adalah air terawat yang dibekalkan Sains.

Jelas beliau lagi, berdasarkan struktur bangunan, dipercayai ladang ternakan berkenaan telah beroperasi melebihi setahun.

“Kedua-dua pemilik ladang ternakan itu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak SPAN.

“Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123 (3) dalam akta yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fazil memaklumkan, sepanjang tahun lalu sebanyak 76 serbuan telah dilakukan melibatkan lima negeri utama iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 97 kompaun telah dikeluarkan melibatkan nilai bayaran sebanyak RM232,000 dan 22 kes telah berjaya di bawa ke mahkamah untuk pendakwaan.-UTUSAN.

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel/Berita Terkini

LOKALITI WABAK DENGGI AKTIF NEGERI KELANTAN 2024

Terdapat 7 lokaliti wabak denggi aktif sehingga 19 Mei 2024 Wabak Tak Terkawal • 1 lokaliti di daerah Kota Bharu …
Maklumat Lanjut

KE MANA HALA TUJU

Kehidupan ibarat sebuah kenderaan; kita perlu pandu ia ke landasan yang betul untuk sampai ke destinasi yang diidamkan. Seperti pemandu …
Maklumat Lanjut

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut