KUALA TERENGGANU, 17 JANUARI 2023
Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam di sekitar 135 batu nautika di timur laut Kuala Terengganu, pagi 15 Jan 2023 lalu. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pihaknya mengesan sebuah bot yang mencurigakan itu sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ketika dihampiri mereka bertindak untuk melarikan diri.
Pihak APMM Terengganu bertindak pantas memintas dan menahan bot yang menggunakan nombor pendaftaran asing berkenaan. Bot dari Vietnam itu ditahan dalam Op Naga Barat dan Kuda Laut dilaksanakan pada pagi itu dan hasil pemeriksaan mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen lesen yang sah. Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan mendapati tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 54 tahun.
Mohd Khairulanuar berkata, kesemua yang ditahan juga tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan permit pekerja asing yang sah. Bot dan kesemua peralatan menangkap ikan serta 150 kilogram ikan campur termasuk 100 liter diesel dirampas dianggarkan bernilai RM1 juta.
Semua kru termasuk tekong dihantar ke Maritim Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki sebarang lesen dan permit kerja untuk melakukan pengoperasian penangkapan hasil laut di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Negeri Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab dengan melaksanakan tindakan tangkapan dalam usaha mengekang nelayan asing yang menceroboh perairan negara. Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat, perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09- 6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.
#Kedaulatandankeutuhanwilayah